KOTA KINABALU: Kerajaan bakal menempatkan Kapal Bunga Mas 5 milik Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia Bhd (MISC) di perairan pantai Timur Sabah yang bersempadan dengan Filipina, bagi memperkukuh pertahanan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESScom).
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kapal itu berperanan sebagai kapal induk dan dilengkapi pasukan anggota keselamatam dan bot-bot laju bagi menangani jenayah rentas sempadan.
"Saya fikir kerjasama rakyat juga penting. Kalau kita beri maklumat kepada musuh, maka musuh dapat membolosi sistem pertahanan negeri ini...saya harap ini dapat dielakkan, jika tak, apa jua sistem pertahanan canggih pun boleh ditembusi jika ada yang beri maklumat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan makan malam bersama Perdana Menteri dan Isteri di sini, malam Sabtu.
Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan isteri Datin Seri Faridah Tussin, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Mohd Shafie Apdal, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan serta beberapa menteri Kabinet negeri.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata dua pelantar minyak Petronas akan ditempatkan di perairan Semporna dan Lahad Datu sebagai barisan pertahanan terakhir dengan dilengkapi sistem radar yang dapat memantau pergerakan di perairan berkenaan.
Perkara itu akan dilakukan enam bulan lagi sebagai langkah meyakinkan rakyat Sabah terhadap peranan Esscom sejajar penstrukturan semula ESScom yang dipimpin seorang Komander.
Sebagai Pengarah Keselamatan Negara, Najib berkata beliau akan kembali melakukan lawatan kerja ke Sabah dalam masa terdekat bagi mengumumkan lebih banyak bentuk insiatif dalam soal pembangunan dan keselamatan negeri ini khususnya Esscom.
Penstrukturan semula Esscom mewujudkan dua komponen utama iaitu pengurusan keselamatan dan pertahanan serta penguatkuasaan dan tindakan awam, bertujuan menggembleng sumber agensi-agensi keselamatan bagi mempertingkat keberkesanan operasi.
Pelantikan Abd Rashid sebagai Komander Esscom berkuat kuasa Selasa ini.
Najib dan Rosmah turut menyampaikan sumbangan duit raya dari Pusat Zakat Sabah kepada anak-anak yatim, ibu tunggal dan warga emas di sekitar Kota Kinabalu.
Terdahulu, Najib menghadiri taklimat khas Pembangunan Sabah oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Sabah sebelum menghadiri majlis perjumpaan bersama pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah di sini.
mStar
No comments:
Post a Comment