ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: DEMAM DENGGI : UTAMAKAN LANGKAH PENCEGAHAN

Saturday 5 July 2014

DEMAM DENGGI : UTAMAKAN LANGKAH PENCEGAHAN


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat mengutamakan langkah-langkah pencegahan daripada dijangkiti demam denggi.

Najib dalam catatan di laman Facebooknya hari Jumaat antara lain mencadangkan pengurangan aktiviti luar pada waktu pagi iaitu antara 5.30 pagi dan 8 pagi; serta waktu senja (5.30 petang hingga 8 malam) yang merupakan waktu aktif nyamuk untuk menggigit.

“Kata pepatah, mencegah lebih baik daripada merawat. Seperti yang kita semua ketahui, tiada ubat khusus yang boleh menyembuhkan pesakit dari demam denggi.

“Langkah-langkah pencegahan perlulah diutamakan, antaranya memastikan kita sentiasa bersedia dengan ubat penghalau atau pembunuh nyamuk; dan kurangkan aktiviti sewaktu nyamuk aktif menggigit, iaitu pada waktu pagi dan senja,” katanya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam sebelum ini memaklumkan sebanyak 85 kematian akibat denggi dicatatkan bagi tempoh Januari hingga 28 Jun lepas di seluruh negara berbanding 27 kematian dalam tempoh yang sama pada 2013.

Ia merupakan peningkatan sebanyak 215 peratus atau sejumlah 58 kematian berbanding tahun lepas, kata Subramaniam.
BERNAMA

No comments:

Post a Comment