ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: WARGA EMAS KERUGIAN RM10,000 DIRAGUT DEPAN RUMAH

Thursday 10 July 2014

WARGA EMAS KERUGIAN RM10,000 DIRAGUT DEPAN RUMAH


TUMPAT - Seorang wanita warga emas kerugian RM10,000 selepas seutas rantai leher emas miliknya diragut seorang lelaki dalam kejadian di rumahnya di depan Sekolah Kebangsaan Kok Pasir di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintenden Zaharudin Rasip berkata, dalam insiden pukul 7.45 pagi itu, Norsiah @ Siti Minah Baba, 66, sedang memandikan cucunya di depan rumah sebelum didatangi suspek.

"Mangsa yang terkejut dan curiga dengan kehadiran lelaki terbabit kemudian bertanyakan tujuan kedatangannya ke situ," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, suspek yang memandu kereta Proton Perdana itu kemudian terus menghampiri mangsa dan bertindak meragut rantai yang dipakai wanita berkenaan sebelum berlaku pergelutan.

Akibat pergelutan itu, mangsa rebah dan terbaring di halaman rumahnya buat beberapa ketika manakala suspek melarikan diri bersama barang kemas berkenaan.

Zaharudin berkata, anak mangsa yang menyedari kejadian itu bergegas ke halaman rumah untuk menyelamatkan mangsa.

Beliau berkata, mangsa sempat menjerit meminta tolong namun tidak didengari sesiapa kerana ketika itu, pembesar suara di sekolah berhampiran sedang memainkan lagu Negaraku.

Zaharudin berkata, pihaknya sedang membuat siasatan lanjut berhubung kes ragut itu dan menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati bagi mengelak kejadian sama berulang. 
Bernama

No comments:

Post a Comment