PETALING JAYA – Mayat seorang wanita warga India ditemui di atas balkoni tingkat dua sebuah kondominium di Jalan PJU1/41A, Ara Damansara, di sini, petang semalam.
Menurut sumber, insiden dipercayai berlaku apabila mangsa, Gita Rani, 36, ditolak kekasihnya selepas timbul pertelingkahan.
“Jiran mangsa pernah mendengar mereka bertengkar beberapa kali sejak menyewa di situ beberapa bulan lalu,” katanya.
Difahamkan mayat mangsa ditemui penduduk yang kemudiannya bertindak memaklumkan kepada polis.
Ketua operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Nazri Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan meminta bantuan mengambil mayat terbabit kira-kira jam 2 petang.
Seramai 14 anggota termasuk pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 7, Petaling Jaya dan Jalan Penchala terbabit dalam operasi itu.
“Kami berjaya menurunkan mayat kira-kira jam 4.45 petang sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim ketika dihubungi, mengesahkan kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa bekerja sebagai tukang jahit.
“Mayat dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat dan kes akan disiasat,” katanya. - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment