ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KOPERAL POLIS CEDERA BERGELUT TANGKAP PENCURI KABEL

Tuesday 1 July 2014

KOPERAL POLIS CEDERA BERGELUT TANGKAP PENCURI KABEL


IPOH: Seorang koperal polis cedera di tangan akibat terkena pisau 'rambo' ketika bergelut dengan seorang suspek yang dipercayai mencuri kabel di Taman Seri Botani di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata suspek itu berusia 31 tahun yang dipercayai anggota kumpulan 'Spiderman' ditangkap ketika memanjat tangga menara pencawang telekomunikasi milik sebuah syarikat di kawasan berkenaan pada pukul 11.45 malam, 26 Jun lepas.

"Suspek tidak bekerja dari Chenderiang itu mempunyai enam rekod kesalahan jenayah lampau iaitu dua kes curi, satu kes ugutan dan tiga kes melibatkan dadah," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Beliau berkata polis menahan seorang lagi suspek berusia 41 tahun yang berasal dari Kelantan di Pekan Razaki di sini pada keesokan harinya susulan penangkapan suspek pertama.

Suspek kedua juga mempunyai rekod jenayah lampau iaitu satu kes curi dan empat kes dadah, katanya.

Sum berkata kedua-dua suspek mengaku terlibat lebih 20 kes curi kabel di sekitar Ipoh dan kabel yang dicuri akan dibakar bagi mendapatkan wayar tembaga sebelum dijual kepada seorang wanita yang menetap di Kampung Kepayang di sini.

Katanya wanita berusia 57 tahun itu turut ditahan pada 27 Jun lepas kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Bagi kes tersebut, polis merampas antaranya dua pasang sarung tangan, dua bilah pisau 'rambo', sebilah parang, sebuah pemotong kecil, sebuah gergaji kecil serta sebuah tong plastik mengandungi beberapa komponen kabel telekomunikasi yang dipotong dan dibakar.

Dalam perkembangan lain, Sum berkata polis menahan empat lelaki berusia 17 hingga 28 tahun pada pertengahan bulan ini, yang dipercayai anggota kumpulan 'Apan' di sekitar Ipoh dan Kuala Kangsar kerana disyaki mencuri motosikal.

"Siasatan mendapati kumpulan ini terlibat dengan tujuh kes kecurian motosikal di sekitar Ipoh dan dijual kepada rakan mereka di Kuala Kangsar," katanya.

Polis turut merampas dua buah motosikal jenis Honda EX5, tiga buah rangka motosikal jenis EX5 berwarna merah yang ditanam di dalam tanah dan sebatang besi tajam berbentuk 'Y', katanya.

Terdahulu Sum menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah Ipoh ASP Zulkarnain Samsudin dilantik sebagai pemangku menggantikan DSP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff yang akan bertugas sebagai penasihat keselamatan di Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.
MStar

No comments:

Post a Comment