ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: MESTI BACA !!! "VIRUS SYIAH" PERSOK AKIDAH !!!

Friday 6 September 2013

MESTI BACA !!! "VIRUS SYIAH" PERSOK AKIDAH !!!


PENULARAN ajaran Syiah amat membimbangkan umat Islam di negara ini yang rata-ratanya berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Ajaran yang salah, batil serta mungkar itu disifatkan sebagai ‘virus’ yang berupaya merosakkan keutuhan akidah ummah.
‘Virus’ berbahaya itu semakin mencengkam umat Islam malah sekumpulan penganut Syiah aliran Khomeini dan pengikut Setiausaha Agung Hezbullah, Hassan Nasrullah dikatakan berjaya menyelinap masuk ke dalam parti-parti politik tempatan serta memegang jawatan-jawatan penting.
Sebahagian umat Islam di Malaysia agak keliru dengan polemik yang ditimbulkan oleh gerakan penyebaran ajaran Syiah. Tanggapan kononnya polemik antara Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah cuma melibatkan perbezaan mazhab fiqah adalah tidak tepat.
Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) mengambil inisiatif dalam menjayakan usaha membanteras ajaran Syiah di negara ini dengan menganjurkan Seminar Mendepani Virus Syiah secara percuma dan terbuka kepada umat Islam di Dewan Muktamar, Pusat Islam, Kuala Lumpur pada 8 September ini.
Timbalan Presidennya, Mohd. Amin Hashim yakin seminar yang bermula pada pukul 8 pagi hingga 5 petang itu berupaya merungkai kekeliruan dan persoalan yang timbul ekoran polemik ajaran Syiah.
“Kita risau kerana selama ini umat Islam di Malaysia berpegang kepada ajaran yang benar iaitu akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Namun, pegangan yang kukuh itu tiba-tiba dirosakkan oleh ajaran Syiah yang salah, batil dan mungkar.
“Polemik ajaran Syiah sebenarnya melibatkan perbezaan akidah sama seperti perbezaan antara Islam dengan agama-agama lain,” katanya dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia di Pejabat Muafakat di Taman Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Beliau memberitahu, fakta-fakta sebenar berhubung ajaran Syiah akan diperincikan dalam seminar yang dijangka dipenuhi dengan kehadiran kira-kira 1,000 peserta.
Jelasnya, pembentang-pembentang kertas kerja terdiri daripada Presiden Persatuan Persaudaraan Dakwah Global, Datuk Nakhaie Ahmad; Ketua Unit Kajian Syiah, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Mohamad Ismail; Pensyarah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam Universiti Malaya (UM), Hamidi Ismail dan Penolong Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam), Zamihan Mat Zin.
“Nakhaie bakal membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Akidah Khomeini Berdasarkan Karyanya – Kasyful Asrar, Al-Hukumah Al-Islamiyyah dan Wasiyat‘.
“Mohamad akan menghuraikan topik ‘Sejarah, Konsep dan Doktrin Syiah’ manakala Hamidi pula membentangkan tajuk ‘Konsep Imam dan Imamiyah Syiah dan Percanggahannya Dengan Islam’.
“Kertas kerja bertajuk ‘Modus Operandi Gerakan Syiah dan Ancamannya Kepada Kestabilan Negara‘ akan dibentangkan oleh Zamihan,” ujarnya.
Lebih menarik lagi, dua warga asing yang pernah menjadi mangsa penindasan penganut Syiah akan membuat penampilan khas sambil menceritakan pengalaman mereka pada seminar tersebut.
Kembali kepada polemik Syiah, Mohd. Amin berpandangan, penolakan terhadap ajaran itu hendaklah dibuat secara menyeluruh tanpa memberi pengecualian kepada mana-mana aliran di bawahnya.
Seperti yang ditegaskan beliau, tindakan itu selaras dengan keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996 bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam.
“Sepatutnya tidak timbul lagi suara-suara sumbang mempertahankan aliran tertentu di bawah ajaran Syiah seperti Zaidiyah yang kononnya tidak sesat.
“Selain keputusan muzakarah tersebut, pandangan ulama-ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah tentang kesesatan ajaran Syiah adalah jelas,” katanya.
Mohd. Amin menyebut dua sumber rujukan yang menyokong pandangan tersebut iaitu kitab Al-Farqu Baina Al-Firaq karya Al-Baghdadi dan kitab Maqallat Islamiyyin oleh Al-Asyaari.
Beliau menekankan betapa pentingnya kesedaran umat Islam tentang bahaya ajaran Syiah dipertingkatkan dan pada masa sama, akidah mereka diperkukuhkan.
“Kita suburkan usaha menyampaikan ilmu agama di masjid dan surau. Didik dan bimbinglah ummah dengan akidah, syariah dan akhlak Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar,” ujarnya.
Tidak kurang pentingnya, Mohd. Amin menyimpulkan, pihak berkuasa agama Islam mesti menguatkuasakan peruntukan undang-undang berkaitan ajaran sesat termasuk Syiah.
Utusan Online

No comments:

Post a Comment