Kuala Lumpur: “Saya bukan artis. Saya bukan cari glamor,” kata Azman Md Nayan, 49, pengawal keselamatan di Subang Skypark Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) yang popular selepas rakaman insiden kekecohan dengan isteri pemain bola sepak negara Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo, Siti Aisya Adam, 24, tersebar meluas di Internet sejak Isnin lalu.
Menurutnya, dia kini menjadi tumpuan pengunjung yang menggunakan Subang Skypark termasuk ahli politik dan pasukan bola sepak, untuk bergambar. “Apabila orang minta bergambar, saya tak boleh nak menolak. Nanti orang cop saya sombong pula. “Pada masa sama, saya bersyukur kerana mereka banyak memberi kata-kata semangat dalam menghadapi isu ini.
“Saya masih mampu menjalankan tugas seperti biasa. Tiada apa yang berubah, cuma mungkin lebih ramai mengenali saya,” katanya. ketika dihubungi Metro Ahad di sini, semalam. Azman berkata, sejak kontroversi itu mendapat liputan meluas media, beberapa peguam yang bersimpati melahirkan hasrat mewakilinya secara percuma jika kes itu dibawa ke mahkamah.
“Ada yang bertemu saya di tempat kerja. Ada pula peguam menghubungi saya. Kebanyakannya mendapat tahu isu itu selepas membacanya di akhbar.
“Bagaimanapun, cerita yang saya dapat hadiah kereta mewah itu tidak betul,” katanya.
“Dengan rasa rendah diri, saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas tindakan saya sehingga menimbulkan kemarahan semua pihak” - Siti Aisya |
Ditanya sama ada dia akan menerima maaf Siti Aisya jika wanita itu menemuinya, Azman berkata, semuanya diserahkan kepada majikan dan peguam untuk tindakan lanjut. Berhubung tindakan pihak yang membuka akaun Facebook ‘Kami Benci Bini Mat Yo’ yang kini mencatat hampir 70,000 like, Azman berkata, dia tidak ada kaitan dengan perkara itu. “Bagaimanapun, saya hanya menyokong jika ia bertujuan untuk kebaikan,” katanya.
Kelmarin, majikan lelaki itu, Pengurus cawangan Valiant Force Sdn Bhd Mukhveer Singh Gill berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan undang-undang meskipun Siti Aisya memohon maaf dan menarik balik laporan polis terhadap Azman. Katanya, sebagai syarikat keselamatan yang bertanggungjawab, pihaknya perlu mengambil langkah mempertahankan kakitangan.
Insiden pertengkaran antara Azman dan Siti Aisya menarik perhatian ramai apabila video selama 55 saat itu dimuat naik di Internet.
Ia berlaku di Subang Skypark apabila Azman meminta Siti Aisya dan suaminya mengalihkan kereta yang diletakkan di kawasan larangan.
Rakaman turut menampakkan wajah Mat Yo yang menyaksikan perang mulut antara isterinya dengan pengawal keselamatan terbabit. Video itu di YouTube kini ditonton lebih 900,000 orang. Siti Aisya kemudian membuat laporan polis sebelum memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas insiden itu.
HM
No comments:
Post a Comment