ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: 25 PESANAN LUQMANUL HAKIM KEPADA ANAK-ANAKNYA.

Friday 13 September 2013

25 PESANAN LUQMANUL HAKIM KEPADA ANAK-ANAKNYA.




1- Hai anakku, ketahuilah sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam ke dalamnya. Bila engkau ingin selamat agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan SAMPAN yang bernama TAQWA, isinya ialah IMAN dan layarnya adalah TAWAKKAL KEPADA ALLAH.

2- Orang-orang yang sentiasa menyediakan dirinya untuk menerima nasihat, maka dirinya akan mendapat penjagaan dari Allah. Orang yang insaf dan sedar setelah menerima nasihat orang lain, dia akan sentiasa menerima kemuliaan dari Allah juga.

3- Hai anakku, orang yang merasa dirinya hina dan rendah diri dalam beribadat dan taat kepada Allah, maka dia tawadduk kepada Allah, dia akan lebih dekat kepada Allah dan selalu berusaha menghindarkan maksiat kepada Allah.

4- Hai anakku, seandainya ibubapamu marah kepadamu kerana kesilapan yang dilakukanmu, maka marahnya ibubapamu adalah bagaikan baja bagi tanam tanaman.

5- Jauhkan dirimu dari berhutang, kerana sesungguhnya berhutang itu boleh menjadikan dirimu hina di waktu siang dan gelisah di waktu malam.

6- Selalulah berharap kepada Allah tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak derhaka pada Allah. Takutlah pada Allah dengan sebenar-benar takut (Taqwa), tentulah engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat Allah.

7- Hai anakku, seorang pendusta akan lekas hilang air mukanya kerana tidak dipercayai orang dan seorang yang telah rosak akhlaknya akan sentiasa melamunkan hal-hal yang tidak benar. Ketahuilah, memindahkan batu besar dari tempatnya semula itu lebih mudah daripada memberi pengertian kepada orang yang tidak mahu mengerti.

8- Hai anakku, engkau telah merasakan betapa beratnya mengangkat batu besar dan besi yang amat berat, tetapi lebih berat lagi dari semua itu bilamana engkau mempunyai tetangga (jiran) yang jahat.

9- Hai anakku, janganlah engkau mengirimkan orang yang bodoh sebagai utusan. Maka bila tidak ada orang yang cerdik, sebaiknya dirimu saja yang layak menjadi utusan.

10- Jauhilah bersifat dusta, kerana berdusta itu mudah untuk dilakukan, bagaikan memakan daging burung padahal sedikit sahaja berdusta itu memberikan akibat yang berbahaya.

11- Hai anakku, apabila engkau mempunyi dua pilihan, takziah orang mati atau hadir majlis perkahwinan, maka pilihlah untuk menziarahi orang yang mati kerana ianya akan mengingatkanmu kepada kampung akhirat sedangkan menghadiri pesta perkahwinan hanyalah mengingatkanmu kepada kesenangan duniawi sahaja.

12- Janganlah engkau makan sampai kenyang yang berlebihan, kerana sesungguhnya makan yang terlalu kenyang itu lebih baiknya bila diberikan kepada anjing sahaja.

13- Hai anakku, janganlah engkau terus menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah terus memuntahkan saja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu menimbulkan kesengsaraan.

14- Makanlah makananmu bersama-sama dengan orang yang bertaqwa dan bermusyawarahlah urusanmu dengan para alim ulamak dengan cara meminta nasihat dari mereka.

15- Hai anakku, bukanlah satu kebaikaan namanya bilamana engkau selalu mencari ilmu tetapi engkau tidak pernah mengamalkannya. Hal itu tidak ubah bagaikan orang yang mencari kayu api,walaupun sudah banyak dan rasa tak mampu untuk dipikul tapi ia masih mahu menambahnya.

16- Hai anakku, bilamana engkau mahu mencari kawan sejati, maka ujilah terlebih dahulu dengan berpura-pura membuat dia marah. Apabila dalam kemarahan itu dia masih berusaha menginsafkan kamu, maka bolehlah engkau mengambilnya sebagai kawan. Bila tidak demikian maka berhati-hatilah.

17- Sentiasalah bertuturkata yang baik, halus budibahasa serta manis wajahmu, dengan demikian engkau akan disukai orang melebihi sukanya seseorang terhadap orang lain yang pernah memberikan barang berharga.

18- Hai anakku, bila engkau berteman, tempatkanlah dirimu padanya sebagai orang yang tidak mengharapkan sesuatu daripadanya. Namun biarlah dia yang mengharapkan sesuatu daripadamu.

19- Jadikanlah dirimu sebagai orang yang tidak ingin menerima pujian dalam setiap tingkah lakumu atau mengharap sanjungan orang lain kerana itu adalah sifat riak yang akan mendatangkan cela pada dirimu.

20- Hai anakku, janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan oleh dunia sahaja kerana engkau diciptakan Allah bukan untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya.

21- Hai anakku, berusahalah untuk tidak mengeluarkan kata-kata yang busuk dan kotor serta kasar, kerana engkau akan lebih selamat jika berdiam diri. Jika berbicara, usahakanlah agar bicaramu mendatangkan manfaat pada orang lain.

22- Hai anakku, janganlah engkau mudah ketawa kalau bukan kerana sesuatu yang melucukan, janganlah engkau berjalan tanpa tujuan yang pasti, janganlah engkau bertanya sesuatu yang tidak ada guna bagimu, janganlah mensia-siakan hartamu.

23- Barangsiapa yang penyayang tentu akan disayangi, sesiapa yang pendiam akan selamat daripada berkata sesuatu yang beracun dan sesiapa yang tidak dapat menahan lidahnya dari berkata kotor tentu akan menyesal.

24- Hai anakku, bergaullah dengan orang yang alim lagi berilmu. Perhatikanlah kata nasihatnya kerana sesungguhnya sejuklah hati mendengarkan nasihatnya, hidupkanlah hati dengan cahaya hikmah dari mutiara kata-katanya bagaikan tanah yang subur lalu disirami air hujan.

25- Hai anakku, ambillah harta dunia sekadar keperluanmu sahaja dan nafkahkanlah yang selebihnya untuk bekalan akhiratmu. Jangan engkau tendang dunia ini ke keranjang atau bakul sampah kerana nanti engkau akan jadi pengemis yang bisa membebankan orang lain. Sebaliknya janganlah engkau peluk dunia ini serta meneguk habis airnya kerana sesungguhnya apa yang engkau makan dan pakai itu adalah tanah belaka. Janganlah engkau bertemankan dengan orang yang bersifat talam dua muka, kelak nanti akan membinasakan dirimu.

No comments:

Post a Comment