ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PRINSIP KEDAULATAN UNDANG-UNDANG HARUS DIHORMATI ANWAR IBRAHIM - IRMOHIZAM

Thursday 5 March 2015

PRINSIP KEDAULATAN UNDANG-UNDANG HARUS DIHORMATI ANWAR IBRAHIM - IRMOHIZAM

Prinsip kedaulatan undang-undang harus dihormati Anwar Ibrahim - Irmohizam
KUALA LUMPUR: Meskipun Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan pengumuman mengenai kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh memandangkan keputusan petisyen Diraja belum dibuat, ini tidak bermakna Parlimen wajib memberikan sebarang kelonggaran kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menidakkan keputusan badan kehakiman negara dengan  membuat permohonan untuk hadir ke sidang Parlimen semasa beliau masih dalam tahanan dan sedang dalam menjalani hukuman.

Itu pandangan Presiden Majlis Belia Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.

Irmohizam turut menyokong penuh intipati kandungan surat Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Zulkifli Omar, yang menolak permohonan Ketua Pembangkang itu dari menghadiri sidang Dewan Rakyat minggu depan.

“Anwar tidak mempunyai sebarang asas atau kriteria khas untuk diberi keizinan menghadiri persidangan Parlimen dan  beliau harus berada di penjara seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan terhadap kes beliau.

“Petisyen permohonan pengampunan Agong masih belum ada keputusannya oleh Lembaga Pengampunan. Anwar hanya boleh menghadirkan diri ke Parlimen sekiranya diberikan pengampunan oleh Lembaga Pengampunan.

“Pada masa yang sama, semasa Mahkamah Persekutuan memutuskan mengekalkan hukuman penjara 5 tahun ke atas Anwar, mahkamah juga tidak memaklumkan atau memutuskan bahawa beliau boleh hadir ke Parlimen semasa persidangan parlimen,” kata Irmohizam.

Irmohizam turut membidas kenyataan-kenyataan pro- pembangkang yang dianggapnya jahil dalam memahami peruntukan undang-undang.

“Mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa seorang anggota Parlimen akan hilang kelayakan jika dia dihukum penjara lebih daripada satu tahun, atau didenda lebih daripada RM2,000.

“Majlis Belia Selangor berharap Anwar dan pihak pembangkang untuk menghormati Badan Kehakiman Malaysia di mana ia adalah sistem dan struktur utama organisasi negara,  selain perundangan dan badan eksekutif. Janganlah berbuat sebarang isu dan provokasi sehingga menimbulkan keraguan dan krisis keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman negara,” jelas Irmohizam.

Pada 23 Feb lepas, isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta dua anak mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha, mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi pihak ketua pembangkang itu berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

No comments:

Post a Comment