ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: LETAK NIK ABDUH TANDING DI DUN CHEMPAKA ADALAH LANGKAH BIJAK

Tuesday 3 March 2015

LETAK NIK ABDUH TANDING DI DUN CHEMPAKA ADALAH LANGKAH BIJAK


Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz merupakan calon terbaik untuk meneruskan legasi bapanya, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Dun Chempaka.

Penganalisis politik UKM, Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamat berkata, tanpa banjir sekali pun, pemergian Allahyarham Nik Aziz itu tetap menjadi faktor kemenangan kerana masyarakat Islam tetap memilih golongan ulama sebagai pemimpin mereka.

“Tidak kira (penyokong) Pas atau Umno, kalau masyarakat Islam sahaja, mereka akan mengambil pendekatan popular iaitu mereka menyanjung Tok Guru... golongan ulama.

“Jadi, kalau tak berlaku banjir pun, masih ada faktor kematian Tok Guru itu. Kalau Umno bertanding pun, sentimen simpati itu akan menyebabkan kemungkinan yang Umno akan tewas juga jika bertanding,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Mengulas soal kemungkinan AJK Pas Pusat, Nik Abduh sebagai pengganti bapanya di Dun Chempaka, Samsu berkata, Ahli Parlimen Pasir Mas itu sudah berada dalam landasan politik dan mempunyai kedudukan dalam kepimpinan Pas.

“Saya percaya pandangan umum juga melihat bahawa calon yang akan mengganti Allahyarham nanti anaknya, kemungkinan Nik Abduh. Saya percaya Nik Abduh akan dipilih kerana beliau orang kuat dalam kepimpinan Pas dan juga ahli parlimen. Beliau sudah berada dalam landasan politik.

“Jadi, untuk membentuk kesinambungan Tok Guru itu, mereka (Pas) harus memilih calon dalam kalangan keluarga Tok Guru yang boleh meneruskan legasi Tok Guru itu. Jadi, beliau (calon) akan mempunyai potensi yang besar untuk menang,” katanya.

Sementara, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berpendapat keputusan BN untuk tidak bertanding di Pilihan Raya Kecil Dun Chempaka mempunyai sisi kebaikan meskipun tidak selari dengan sistem demokrasi.

“Ada lebih banyak kebaikan dengan keputusan BN itu walaupun mungkin tidak begitu sehati dengan semangat demokrasi yang seharusnya ada pertandingan. Kalau tidak ada PRK, ini boleh memungkinkan kedua-dua belah pihak menumpukan kepada pelbagai usaha untuk memulihkan keadaan dari segi masa, tenaga dan wang ringgit. Ini baik untuk semua pihak.

“Kedua, kita boleh mengelakkan ‘politiking’ melampau yang boleh menyebabkan perpecahan, tuduh menuduh, fitnah memfitnah, ancam mengancam dan sebagainya. Lagipun, saya percaya kalau Umno bertanding di kawasan itu, di tengah-tengah sentimen dan kesan penyokong Pas kepada Allahyarham Nik Aziz, peluang kemenangan BN di situ begitu tipis. Jadi, sudah terang lagi bersuluh kawasan itu adalah kubu kuat Pas,” katanya.

Sebelum ini, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan BN dan Umno Kelantan tidak akan meletakkan calon bertanding di kerusi Dun Chempaka kerana hendak menumpukan kepada usaha pemulihan banjir dan mangsa banjir di negeri itu.

PRK Dun Chempaka diadakan berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Nik Aziz pada 12 Februari lalu akibat kanser prostat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermesyuarat pada 18 Februari lalu memutuskan 10 Mac ini sebagai tarikh penamaan calon, 18 Mac hari pengundian awal dan 22 Mac pengundian biasa.
SH

No comments:

Post a Comment