ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KAZIM ELIAS KESAL MUFTI PERLIS TUDUH DIRINYA MENYEBAR RIWAYAT PALSU

Thursday, 5 March 2015

KAZIM ELIAS KESAL MUFTI PERLIS TUDUH DIRINYA MENYEBAR RIWAYAT PALSU


Pendakwah terkenal, Datuk Mohd. Kazim Elias menyifatkan keputusan Jabatan Mufti Perlis yang tidak bersetuju dengan pemilihan beliau sebagai ahli panel Forum Perdana Ehwal Islam sempena Keputeraan Raja Perlis Ke-72 pada Mei ini sebagai tindakan gopoh dan memalukan.

Menurut beliau, dakwaan itu tidak sewajarnya dilakukan Mufti Perlis, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Tegasnya, alasan Jabatan Mufti Perlis yang mendakwa beliau ‘sering terlibat dengan pembacaan riwayat-riwayat palsu’ tanpa memberi peluang kepadanya memberikan penjelasan juga adalah tindakan tidak adil.

“Saya dimaklumkan mengenai pembatalan jemputan saya ke majlis berkenaan dua minggu lalu, namun saya tidak mahu menghebahkan perkara ini demi menjaga air muka mereka yang berkaitan.

 “Namun, apabila berlaku penye­baran surat tersebut, saya kesal kerana ini tidak adil, saya tidak diberi peluang untuk menjawab tuduhan yang dilemparkan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Mohd. Kazim yang lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Kazim ber­kata, dakwaan tersebut turut menjejaskan kredibilitinya.

“Selepas ini mungkin ada yang melabelkan saya penyebar hadis palsu dan tidak lagi dijemput untuk mengadakan ceramah.

“Saya akan membuat sidang akh­bar untuk menjelaskan perkara ini pagi esok,” katanya.

Mohd. Kazim diminta mengulas penyebaran sepucuk surat daripada Jabatan Mufti Perlis di laman-laman sosial yang tidak bersetuju beliau menjadi panel Forum Perdana Ehwal Islam sempena Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ke-72. Dalam surat tersebut, Jabatan Mufti Perlis memberi sebab kerana beliau ‘sering terlibat dengan pem­bacaan riwayat-riwayat palsu’.

Sementara itu, katanya, ‘riwayat’ atau hadis palsu dimaksudkan dalam surat Jabatan Mufti Perlis adalah mengenai rakaman YouTube sedutan daripada satu ceramahnya yang menyatakan ‘kenduri Rasu­lullah SAW menghidangkan roti jala dengan kuah kari’.

Mengulas perkara tersebut, kata Mohd. Kazim, dalam ceramahnya, beliau hanya mengatakan perban­dingan bahawa di Malaysia, roti jala dicicah dengan kuah kari juga masih boleh dijadikan hidangan pada majlis kenduri.

“Saya cuma kata roti jala pun boleh dijadikan hidangan dalam kenduri masyarakat Islam untuk bagi orang faham,” katanya.

Beliau kesal kerana surat Jabatan Mufti Perlis itu menyebut ‘riwayat-riwayat palsu’ yang seolah-olah meng­gambarkan dirinya sudah banyak kali membacakan hadis tidak benar.

“Jika benar dakwaan itu, saya mahu tahu di mana dan bila saya membacakan hadis-hadis palsu yang didakwa. Jika benar, saya sedia memberikan penjelasan,” katanya.

1 comment:

  1. Dikhuatiri pembatalan jemputan ini kerana dendam oleh Mufti Perlis kepada Ustaz Kazim atas beberapa isu dan tidak sama pendapat kebelakangan ini!

    ReplyDelete