KUALA LUMPUR: Undang-undang hudud bukan untuk membebankan tetapi ia berupaya memperbaiki keadaan sosial masyarakat, kata Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid.
Katanya undang-undang hudud tidak harus dilihat dari segi hukuman berat semata-mata, sebaliknya ia perlu dinilai sebagai satu daripada cara untuk melahirkan masyarakat berdisiplin.
"Mereka yang takut kepada pelaksanaan undang-undang hudud disebabkan mereka hanya fokus kepada hukuman berat sahaja seperti hukum rejam, potong tangan dan sebagainya," katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau mengulas mengenai keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 19 Mac meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau lebih dikenali sebagai undang-undang hudud yang hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja apabila ia dilaksanakan kelak di negeri itu.
Kesemua 44 anggota dewan termasuk 31 anggota dewan daripada PAS, kesemua 12 anggota dewan daripada Barisan Nasional dan seorang daripada PKR menyokong pindaan rang undang-undang itu yang dibentangkan kerajaan negeri pimpinan PAS melalui Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.
Mahmood Zuhdi berkata menurut Islam, masyarakat boleh dididik melalui dua perkara, iaitu memberi galakan, dan ancaman hukuman yang berat supaya mereka 'takut' untuk melakukan kesalahan.
"Sebagai contoh kesalahan mencuri, jika hanya seorang atau dua orang dipotong tangannya ia akan membuatkan masyarakat takut untuk mencuri, tidakkah ini membawa kebaikan dan keindahan daripada kita memenjarakan 600 orang. Kedua-duanya adalah hukuman tetapi perbezaannya mana satu yang boleh melahirkan kesan yang mendalam kepada masyarakat," katanya.
Namun Mahmood Zuhdi menegaskan bahawa undang-undang hudud hanyalah sebagai kaedah tambahan untuk mendisiplinkan masyarakat setelah institusi sosial seperti ibu bapa, dan institusi pendidikan telah memainkan peranan membentuk karektor dan sahsiah seseorang.
Oleh itu, tegas beliau, undang-undang hudud tidak perlu ditakuti kerana ia perlu melalui proses penghakiman yang kompleks sebelum hukuman dijatuhi.
Katanya terdapat beberapa kriteria utama yang diambil kira sebelum seseorang itu dijatuhi hukuman hudud atas kesalahan yang dilakukan.
"Sebelum menjatuhi undang-undang hudud, antara yang perlu diambil kira adalah cara didikan ibu bapa, pengaruh rakan sebaya, kawasan kejiranan, peranan para ulama, tempat beribadat dan institusi pendidikan perlu menjalankan fungsinya dengan betul mengikut ajaran Islam, barulah hukum itu terlaksana," kata Mahmood Zuhdi.
Contohnya, sekiranya seseorang yang dituduh mencuri sedangkan dia dibesarkan dalam keluarga yang tidak bermoral maka undang-undang hudud tidak boleh dijatuhi ke atasnya.
Ditanya mengenai sikap sesetengah orang Islam sendiri yang menolak undang-undang hudud, Dr Mahmood Zuhdi berkata golongan ini tidak harus dipersalahkan kerana pihak yang menolak undang-undang itu mempunyai kefahaman yang salah.
Maka, katanya pendidikan dan penyebaran ilmu mengenai undang-undang ini perlu diperluaskan.
Mahmood Zuhdi turut menyarankan supaya pihak yang terlibat memperbaiki kehidupan masyarakat sebelum memperkenalkan undang-undang hudud.
"Pihak yang melaksanakan hukuman ini perlu memastikan kesejahteraan hidup masyarakat seperti tiada kemiskinan, tiada unsur-unsur lucah di kaca televisyen dan sebagainya yang perlu seiringan dengan pelaksanaan hukum tersebut," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia Musa Awang menyifatkan pelaksanaan hukum hudud sebagai langkah pencegahan untuk seseorang itu daripada melakukan kesalahan.
Katanya sebagai bukti, pelaksanaan hukum hudud di zaman Rasullah SAW yang berjaya mengelakkan kesalahan seperti berzina, merompak dan minum arak berlaku.
"Dalam hukum hudud, 'beban' membuktikan sesuatu kesalahan adalah terlalu ketat dan sukar, jadi untuk membuktikan sesuatu yang sukar maka hukuman itu bukan bertujuan menghukum tetapi untuk mencegah orang daripada melakukannya, kerana bila masyarakat tengok hukuman itu berat mereka akan takut untuk melakukan kesalahan," katanya.
Musa turut menambah pelbagai aspek dalam pelaksanaan hukum hudud yang perlu diambil kira seperti kewibawaan saksi, tatacara menentukan kesalahan, dan pihak mahkamah yang perlu arif dengan undang-undang hudud bagi mengelakkan undang-undang Islam itu dipandang serong.
No comments:
Post a Comment