ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PERMOHONAN ANWAR HADIR SIDANG PARLIMEN DITOLAK

Wednesday, 4 March 2015

PERMOHONAN ANWAR HADIR SIDANG PARLIMEN DITOLAK



PETALING JAYA: Usaha pembangkang untuk memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke sidang Parlimen gagal apabila Jabatan Penjara pada Rabu menolak permohonan keluarganya.

Peguam Anwar, N. Surendran berkata, pihaknya menerima surat daripada Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar yang memaklumkan mengenai perkara tersebut.

Menurut Surendran yang juga Ahli Parlimen Padang Serai, tiada sebarang alasan diberikan oleh Jabatan penjara.

"Amat memeranjatkan kerana kerana ia ditolak mentah-mentah tanpa alasan.

"Penolakan ini benar-benar tidak boleh diterima dan ia dilihat menjadi penghalang kepada fungsi Dewan Rakyat," katanya menerusi kenyataan pada lewat petang Rabu.

Persidangan Dewan Rakyat akan bermula pada 9 Mac hingga 9 April depan.

Anwar ketika ini menjalani hukuman penjara lima tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu menolak rayuan akhir beliau terhadap kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari.

Bagaimanapun Dewan Rakyat dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengumumkan kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh kerana menunggu proses keputusan Yang Di-Pertuan Agong terhadap rayuan pengampunan Diraja yang dibuat oleh ahli keluarganya.

Pandikar Amin dalam kenyataan pada 24 Februari lalu menyatakan kelayakan Anwar sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh akan ditentukan selepas petisyen pengampunan yang dikemukakan keluarga Anwar diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong.

No comments:

Post a Comment