ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: KEDUDUKAN MATAHARI HAMPIR DENGAN BUMI SEMASA EKUINOKS TIDAK BENAR - ANGKASA

Tuesday, 3 March 2015

KEDUDUKAN MATAHARI HAMPIR DENGAN BUMI SEMASA EKUINOKS TIDAK BENAR - ANGKASA

Hasil carian imej untuk Kedudukan Matahari Hampir Dengan Bumi Semasa Ekuinoks Tidak Benar
Pendapat bahawa matahari akan berada hampir dengan bumi dan menyebabkan cuaca yang lebih panas semasa fenomena Ekuinoks pada 21 Mac ini adalah tidak benar, demikian menurut Agensi Angkasa Negara (Angkasa).

Dalam satu kenyataan Isnin, Angkasa menjelaskan Ekuinoks merupakan satu fenomena apabila matahari berada tepat pada garisan Khatulistiwa selepas bergerak dari hemisfera selatan ke utara yang menyebabkan cuaca lebih panas dan tempoh siang di kawasan Khatulistiwa lebih panjang daripada biasa.

Sebaliknya, bumi akan berada paling hampir dengan matahari semasa ia berada pada kedudukan 'Perihelion' yang biasanya berlaku pada 4 Jan, manakala kedudukan paling jauh dari matahari (Aphelion) berlaku pada 6 Julai setiap tahun.

"Perbezaan jarak bumi paling hampir dan paling jauh dari matahari adalah hanya tiga peratus sahaja.

"Secara keseluruhannya, nilai perbezaan sebanyak tiga peratus tersebut adalah terlalu kecil atau tidak cukup signifikan untuk menyebabkan perubahan suhu bumi," menurut kenyataan itu.

Angkasa menjelaskan keadaan panas yang dialami pada masa kini lebih dipengaruhi oleh faktor cuaca pada permukaan bumi seperti tiupan angin dan juga faktor kadar pembentukan awan yang membawa hujan.

"Perubahan empat musim di hemisfera utara dan selatan bumi pula adalah kerana faktor kecondongan paksi bumi yang menyebabkan perbezaan 'penyebaran tenaga matahari' di kedua-dua permukaan bumi dan bukannya disebabkan oleh jarak bumi ke matahari," menurut kenyataan itu lagi.

Orang ramai boleh menghubungi Observatori Negara Langkawi di talian 04-966 8870 atau Planetarium Negara 03-2273 4303 untuk sebarang maklumat lanjut mengenai fenomena itu.

 BERNAMA 

No comments:

Post a Comment