KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad enggan mengulas ketika ditanya mengenai kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah yang tidak yakin dengan 'usaha' beliau yang didakwa ingin menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
"Oh, lain kali lah... lain kali," kata bekas Perdana Menteri itu ketika ditemui pemberita pada acara penutup Le Tour de Langkawi di Dataran Merdeka hari ini.
Semalam, dalam blog msomelayu.blogspot.com, Tengku Razaleigh telah menyatakan bahawa Mahathir tidak mempunyai cukup kuasa untuk menjatuhkan Najib.
Ini berikutan kenyataan Mahathir baru-baru ini dalam blognya, chedet.cc yang menggesa agar polis melakukan siasatan forensik terhadap tuduhan yang dibuat ke atas beberapa pihak yang didakwa terlibat dengan pengurusan wang 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Dalam blog tersebut, Mahathir menyatakan kebimbangan sekiranya perkara itu tidak dilakukan secepat mungkin, Barisan Nasional (BN) mungkin akan kalah dalam Pilihan Raya Umum 2018 akan datang.
"Jika ini tidak dibuat dan dibuat secepat mungkin, sokongan rakyat yang sudah pun merosot dalam PRU 2008, 2013 akan merosot lagi.
"Besar kemungkinan BN akan kalah pada 2018, walaupun ketua-ketua UMNO sokong dan terima dengan puas hati penerangan yang dibuat. Ingatlah undi orang UMNO sahaja tidak cukup untuk menang pilihan raya," tulis Dr Mahathir.
Dr Mahathir berkata, sehingga hari ini, Kerajaan masih tidak menjawab beberapa persoalan dengan munasabah terhadap beberapa isu melibatkan 1MDB.
Malah, beliau juga mendakwa, sejak jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB diambil alih oleh Arul Kanda Kandasamy, banyak kenyataan tidak munasabah dibuat.
Selain dilihat lantang dalam menyuarakan pandangan tentang 1MDB, bekas Presiden UMNO itu juga mempersoalkan kekayaan keluarga Datuk Seri Najib Abdul Razak, termasuk anak tirinya Riza Aziz yang mampu membeli hartanah mewah dan pelaburan ratusan juta untuk filem “The Wolf of Wall Street”.
Meskipun begitu, kedua-dua pemimpin itu yang duduk bersebelahan dilihat berbual seketika di atas pentas ketika majlis penutup Le Tour de Langkawi petang tadi.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Astro Awani
No comments:
Post a Comment