TUMPAT - Lima beranak nyaris lemas ditelan lagun Sri Tujoh ketika mencari kepah, dekat Kampung Jubakar Pantai di sini, petang kelmarin.
Ketika kejadian, difahamkan semua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah di seberang lagun tersebut tetapi terjerlus di tempat yang dalam ketika air semakin pasang.
Bagaimanapun, mereka berlima, Norismawani Ismail, 30, dan dua anaknya, Mohd Amirul Haris Hafiz, 7, serta Mohd Amirul Haikal, 2, diselamatkan oleh penduduk kampung.
Dua adik Norismawani, Siti Atikah, 20, dan Siti Nurul Najwa, 8, turut terselamat dalam kejadian itu.
Siti Atikah berkata, dia sekeluarga ke lagun berkenaan jam 5 petang untuk mencari kepah ketika air surut dan bergegas pulang apabila hari gelap, dan air semakin pasang.
Namun katanya, ketika dia meredah air pasang separas lutut di lagun itu, anak saudaranya, Mohd Amirul Haris tiba-tiba lemas terjerlus ke tempat dalam.
“Kakak saya terus terjun menyelamatkan anaknya, saya pula sedang mendukung Mohd Amirul Haikal.
“Saya nampak tangan kakak terkapai-kapai minta pertolongan. Saya terus pegang tangannya dan cuba tarik dia naik tetapi dengan saya sekali terheret ke tempat dalam itu,” katanya.
Menurutnya, dia tidak menyedari bagaimana adiknya, Siti Nurul Najwa boleh tertarik sama ke kawasan dalam berkenaan.
“Mujur ada pencari kepah di situ nampak kami lemas, mereka (tiga lelaki) terjun menyelamatkan kami dan bawa kami naik ke darat sebelum dihantar ke Hospital Tumpat.
“Cemas juga kerana Mohd Amirul Haikal tidak sedarkan diri dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II),” katanya yang masih dirawat di Hospital Tumpat bersama Siti Nurul Najwa.
Turut dirawat di HRPZ II ialah Noriswani yang dilaporkan stabil, manakala Mohd Amirul Haris telah dibenarkan keluar dari Hospital Tumpat.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Mohd Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu, kira-kira jam 7.05 malam.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian pada jam 7.22 malam, kami dimaklumkan mangsa telah diselamatkan oleh orang awam dan dibawa ke Hospital Tumpat.
"Semua mangsa selamat dan dilaporkan stabil," katanya.
SH
No comments:
Post a Comment