ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: 21 RUMAH TRANSIT MANGSA BANJIR MANIK URAI SIAP DIBINA - MUKHRIZ

Friday 6 March 2015

21 RUMAH TRANSIT MANGSA BANJIR MANIK URAI SIAP DIBINA - MUKHRIZ


Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kanan) menyerahkan rumah transit kepada Imam Tua Masjid Karangan Hussain Dollah, 62, (kiri) sempena Majlis Penyerahan Rumah Transit Kerajaan Negeri Kedah kepada mangsa-mangsa banjir Kampung Karangan, Manik Urai di sini hari ini.
KUALA KRAI, 5 Mac  Sebanyak 21 daripada 53 rumah transit mangsa banjir di Kampung Karangan, Manik Urai, di sini, siap dibina kerajaan negeri Kedah, kata Menteri Besarnya Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Mukhriz berkata baki 32 rumah lagi akan disiapkan sebelum Ramadan ini kerana penduduk perlu menyelesaikan hak milikan tanah dengan kerajaan Kelantan.

"Kita bina rumah transit ini supaya penduduk yang kehilangan kediaman akibat banjir besar Disember lepas dapat hidup dalam keadaan lebih selesa berbanding tinggal di dalam khemah.

"Kita peruntukkan kira-kira RM15,000 bagi sebuah rumah transit...pelan pembinaannya fleksibel dan mengikut kehendak penduduk kerana ada yang hanya mahu dua buah bilik tidur dan ruang tamu yang besar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Rumah Transit Kerajaan Negeri Kedah kepada warga bencana banjir Kampung Karangan yang turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Dabong merangkap Ketua Umno bahagian Kuala Krai Datuk Ramzi Ab Rahman di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Mukhriz turut menghulurkan sumbangan lebih 100 katil dan tilam kepada mangsa banjir di kampung berkenaan serta 300 beg sekolah kepada murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Karangan dan SK Laloh.

Katanya pembinaan sebuah rumah transit memakan masa kira-kira lima hingga tujuh hari dan menggunakan khidmat tukang rumah daripada kalangan penduduk itu sendiri.

"Selain itu, kita juga turut menggunakan khidmat Sukarelawan Kedah Darul Aman (Sukam) yang telah berkampung di sini sejak dua bulan lepas bagi program bantuan pasca banjir kerajaan negeri Kedah," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment