ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PUDING BANTU KULIT CANTIK

Wednesday, 4 March 2015

PUDING BANTU KULIT CANTIK


Badan yang sihat boleh mempengaruhi penampilan fizikal dan minda kita. Bersenam secara kerap, mendapatkan tidur yang cukup dan mengawal pemakanan bukan saja mengelakkan pelbagai penyakit kronik seperti jantung, darah tinggi atau diabetes, malah mengurangkan masalah cela pada kulit.

Walaupun genetik dan gaya hidup memainkan peranan penting dalam memelihara kesihatan kulit, pengambilan makanan yang betul juga banyak membantu kita mengatasi masalah jerawat dan kedutan, selain meningkatkan paras semula jadi kulit kita.

Justeru, bagi menyedarkan wanita mengenai amalan pemakanan yang boleh membantu mengekalkan kecantikan kulit, satu demonstrasi masakan diadakan di The Cooking House Bangsar dalam majlis Safi Balqis Cerah Sempurna Masterclass, baru-baru ini.
Pada acara demonstrasi berkenaan, Chef Nor Zailina Nordin menunjukkan langkah mudah menyediakan hidangan sihat iaitu puding parfe limau gedang dan kiwi yang boleh dinikmati sebagai snek atau pencuci mulut.

“Banyak manfaat yang boleh diperoleh daripada limau gedang dan kiwi dalam mencerahkan kulit wajah, kulit berminyak dan sensitif. Selain menitik beratkan penjagaan kulit muka, serlahkan kecantikan dari dalam dengan mengutamakan pengambilan buah dan sayur.

“Misalnya, amalan pemakanan buah kiwi segar yang kaya dengan vitamin C (dua kali lebih tinggi daripada lemon) membantu mencerahkan kulit dengan lembut dan selamat.

“Bagi yang mempunyai masalah kulit berminyak, limau gedang pula mempunyai manfaatnya tersendiri dalam mengawal pembentukan minyak berlebihan.

“Amalkan pengambilan dua biji buah kiwi dan sebiji limau gedang dalam sehari bagi mendapatkan kesan diinginkan pada penampilan wajah sempurna,” katanya.

Penulis yang pernah menghasilkan 30 buku masakan itu turut menambah, buah-buahan jenis sitrus yang kaya dengan vitamin C semula jadi seperti limau gedang, lemon dan oren boleh membantu dalam mengurangkan penyerapan lemak.

Vitamin C adalah bahan utama dalam produk kecantikan khususnya krim pelembap dan tabir suria. Vitamin ini membantu menggalakkan penghasilan kolagen yang berupaya memperbaiki struktur kulit lemah.

Mengambil vitamin C menerusi makanan seperti oren, limau gedang, ceri Acerola (sebiji ceri Acerola membekalkan 100 peratus sumber vitamin C yang diperlukan dalam sehari) dan tomato membantu menganjalkan semula kulit dan mengurangkan garis kedutan.

Vitamin C juga berupaya menentang keradangan dan sumber antioksidannya membantu meneutralkan radikal bebas yang merosakkan sel kulit.

Tambahnya, bagi menambah kesegaran puding parfe limau gedang dan kiwi apabila dimakan ketika cuaca panas, sebaiknya simpan di dalam peti sejuk selama dua jam sebelum dinikmati.

2 comments:

  1. Salam. Mohon izin blog ini dipautkan ke http://spotthebloggers.blogspot.com Sila email ke spotthebloggers@gmail.com sekiranya tn membantah. TK

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam...
      Dialu-alukan Tuan

      Terimakasih

      Delete