ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PENYAMUN LARIKAN RM500,000 WALAUPUN KENA TEMBAK

Wednesday 4 March 2015

PENYAMUN LARIKAN RM500,000 WALAUPUN KENA TEMBAK

Penyamun larikan RM500,000 walaupun kena tembak

GEORGETOWN - Dua lelaki bersenjatakan sepucuk pistol melarikan wang tunai kira-kira RM500,000 dari sebuah van syarikat keselamatan di hadapan sebuah bank di Bayan Baru di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, suspek yang menunggang motosikal menghampiri tiga pengawal keselamatan yang baharu sahaja keluar dari sebuah bank yang membawa dua beg berisi wang tunai RM500,000 dan RM300,000 untuk dimasukkan ke dalam van.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Mazlan Kesah berkata, seorang daripada suspek yang membonceng motosikal mendekati tiga pengawal yang baharu membuka pintu van sebelum merampas kedua-dua beg itu.

"Suspek mengacukan pistol dan menendang kaki pengawal keselamatan yang sedang membawa beg berisi wang sehingga terjatuh dan merampasnya sebelum melarikan diri.

"Seorang daripada pengawal sempat melepaskan lebih empat das tembakan ke arah suspek dan satu tembakan terkena bahagian kaki suspek," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini semalam.

Mazlan berkata, tembakan itu juga terkena cermin sebuah kereta yang diparkir di hadapan bank berkenaan.

Menurutnya, rakannya yang melihat kejadian itu segera melarikan diri dengan menggunakan motosikal manakala suspek melarikan diri dengan menyeberangi jalan sejauh 130 meter ke arah kawasan perumahan berdekatan.

Beliau berkata, polis menemui semula beg berisi RM300,000 yang tidak sempat dilarikan suspek berdekatan premis barangan lusuh yang tidak jauh dari tempat kejadian.
"Susulan kejadian itu, kita melancarkan Ops Tutup di sekitar kawasan berkenaan bagi mengesan dua lelaki dipercayai berusia 20-an," katanya.

Sementara itu, polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat berhampiran lokasi kejadian bagi mengenal pasti suspek yang terlibat.

Beliau berkata, suspek mungkin mengekori pergerakan van berkenaan yang baharu memungut wang dari sebuah bank berhampiran sehingga ke lokasi kejadian.

Sehubungan itu, polis akan menyiasat syarikat kawalan keselamatan berkenaan bagi meneliti standard operasi prosedur yang digunakan dalam tugasan pungutan wang.

"Kita akan merekodkan keterangan empat pengawal keselamatan terbabit dan beberapa pekerja bank yang bertugas ketika kejadian bagi membantu siasatan.

"Kita meminta kerjasama klinik dan hospital yang menerima pesakit cedera di kaki akibat ditembak agar menghubungi polis bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen  395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

No comments:

Post a Comment