ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: TERKINI : ISU MB SELANGOR

Friday 8 August 2014

TERKINI : ISU MB SELANGOR

PKR Didakwa Paksa Adun Tolak Khalid

PETALING JAYA: Komplot menggulingkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada jawatan menteri besar Selangor kini memasuki episod baharu apabila kesemua 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri itu turut diberi tekanan bagi menjayakan agenda berkenaan.
Terbaharu, kesemua 13 Adun itu didakwa diarahkan oleh pucuk pimpinan PKR supaya menandatangani surat akuan sumpah yang mengakui mereka hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.
mStar Online difahamkan surat yang diedarkan pada Khamis itu perlu diserahkan kembali ke Ibu Pejabat PKR selewat-lewatnya pada pukul 10 pagi Jumaat.
Untuk rekod, PKR mempunyai 14 Adun termasuk Abdul Khalid.
Bagaimanapun, kesahihan surat berkenaan masih diragui.
Pada lewat malam Khamis, mStar Online menerima satu salinan surat akuan sumpah versi digital yang tertera nama dan maklumat peribadi salah seorang daripada 13 Adun PKR Selangor.
Antara inti pati surat akuan yang perlu ditandatangani oleh Adun terbabit yang juga Exco Selangor itu, tertulis bahawa beliau tidak lagi mempunyai kepercayaan terhadap Abdul Khalid untuk mentadbir kerajaan negeri.
Turut dinyatakan ialah bahawa pengaku mempunyai kepercayaan terhadap Adun Kajang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk dilantik sebagai menteri besar Selangor yang baharu.
Menurut sumber yang rapat dengan Abdul Khalid, terdapat dikalangan Adun-adun yang menerima surat itu tampil memaklumkan mengenai perkembangan terbaharu tersebut.
"Mereka kena paksa tandatangan surat ini. Adun sendiri yang bagi (salinan surat)," katanya ringkas. -mStar

PKR Niat Jahat - SPRM

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) diingatkan supaya tidak mengheret Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam konflik dalaman parti itu berhubung isu pertukaran Menteri Besar Selangor.
Malah parti itu dianggap berniat jahat apabila mendakwa SPRM melakukan siasatan secara selektif berhubung dakwaan salah laku dan pecah amanah terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.


Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull bagaimanapun menegaskan bahawa badan itu tidak pernah mengamalkan siasatan  yang memihak kepada mana-mana pihak.


"Sebagai sebuah badan yang bebas, telus dan profesional, SPRM menganggap dakwaan Datuk Saifuddin Nasution Ismail bahawa SPRM melakukan siasatan selektif dan bahawa 'pasti SPRM' akan mengumumkan Tan Sri Abdul Khalid tidak ada kes kelak, adalah tidak bertanggungjawab dan berniat jahat terhadap SPRM.


"SPRM ingin mengingatkan supaya pihak berkenaan jangan cuba mengaitkan SPRM dalam isu pergolakan politik PKR tanpa asas yang kukuh," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.


Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai laporan sebuah portal berita yang menyiarkan kenyataan Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR bahawa SPRM akan melakukan siasatan secara berat sebelah terhadap Abdul Khalid.


Tambah Mohd Shukri, SPRM akan menjalankan siasatan dengan adil dan telus setiap kes yang mengandungi unsur rasuah mengikut peruntukan Akta SPRM 2009.


"Jadi kenyataan Saifuddin bahawa SPRM mengamalkan siasatan selektif adalah tidak berasas dan tidak benar sama sekali.


"SPRM ingin menegaskan bahawa mana-mana aduan atau maklumat yang diterima dan mempunyai asas akan disiasat tanpa mengira latar belakang politik, bangsa, agama, pangkat, jawatan dan sebagainya," katanya.


Pada Rabu, Ketua Setiausaha Sulit kepada Abdul Khalid, Mohamad Yasid Bidin membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan PKR yang mengaitkan Menteri Besar itu terlibat dengan rasuah.

Turut sama membuat aduan itu ialah kedua-dua setiausaha politik Abdul Khalid, Mustapha Mohd Talib dan Azman Abidin. - mStar

No comments:

Post a Comment