ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: REMAJA LELAKI KENALAN NOR SYAFIKAH DITAHAN REMAN BANTU SIASATAN KEMATIAN 3 BERADIK..

Tuesday, 3 December 2013

REMAJA LELAKI KENALAN NOR SYAFIKAH DITAHAN REMAN BANTU SIASATAN KEMATIAN 3 BERADIK..


JENAZAH Nur Izzati dan Puteri Nurul Akma dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Semela.
ALOR SETAR - Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan kematian tiga beradik perempuan dari Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan berkata, pelajar itu yang merupakan kenalan mangsa ditahan di rumahnya di Arau, Perlis kira-kira pukul 11.30 malam tadi.

"Pelajar itu ditahan reman selama empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes itu," katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.

Mayat Nor Syafikah Nadia Rusdi, 14, ditemui tertiarap dalam keadaan separuh bogel di tepi sawah Alor Senibong di sini pukul 3.45 petang Sabtu lalu selepas keluar dari rumah bersama dua adiknya, Puteri Nurul Akma, 3, dan Nur Izzati Husna, 12, kira-kira pukul 7.30 malam, Jumaat lalu.

Lebih memilukan, mayat Puteri Nurul Akma dan Nur Izzati Husna pula ditemui kira-kira pukul 4.50 petang semalam dalam terusan MADA Kampung Padang Petani, Langgar, kira-kira 3.5 kilometer dari lokasi mayat Nor Syafikah Nadia ditemui.

Biarpun mereka ditemui mati lemas, polis mengklasifikasikan kes ini sebagai bunuh.

Menurut Adzaman, pihaknya masih menyiasat sejauh mana hubungan pelajar terbabit dengan mangsa menerusi siasatan teliti melibatkan segenap aspek.

"Setakat ini polis sudah mengambil keterangan lebih 10 individu termasuk ahli keluarga dan rakan mangsa bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam ini," katanya.

Tambah beliau, hasil bedah siasat ke atas Puteri Nurul Akma dan Nur Izzati Husna pula mendapati punca kematian mereka disebabkan lemas.

Terdapat kesan calar pada badan mangsa, namun tiada tanda mereka dirogol, dicekik atau dipukul.

Adzaman memberitahu, spesimen darah ketiga-tiga beradik itu turut dihantar untuk ujian ke Jabatan Kimia, Pulau Pinang bagi mengesan jika ada punca lain termasuk kemungkinan suntikan dadah ke atas mangsa.

Tambah beliau, polis turut dimaklumkan oleh pegawai perubatan bahawa kematian ketiga-tiga beradik itu berlaku dalam tempoh yang hampir sama.

Mengulas dakwaan keluarga mangsa mengenai kesan cedera dipercayai akibat dicucuh puntung rokok pada anggota badan dan tangan Nor Syafikah Nadia serta kesan sama pada tangan kedua-dua adik mangsa, Adzaman berkata, ia adalah disebabkan gigitan hidupan dalam air seperti lintah atau ikan.

Berhubung penemuan seluar di kawasan mayat Puteri Nurul Akma dan Nur Izzati Husna ditemui, beliau memberitahu, pakaian itu bukan milik ketiga-tiga beradik itu kerana Nor Syafikah Nadia keluar pada malam kejadian dengan memakai jean biru.

"Bagaimanapun baju T yang ditemui berhampiran mayat Nor Syafikah Nadia adalah miliknya," katanya.

Adzaman turut meminta orang ramai supaya menghentikan spekulasi bahawa mangsa menjadi mangsa rogol seperti yang tersebar dalam laman sosial.

Katanya, maklumat yang disalur polis kepada umum adalah hasil laporan perubatan oleh pakar forensik yang menyatakan tiada tanda mangsa dirogol.
UM

No comments:

Post a Comment