ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: TIGA SAHABAT DIKEJAR DENGAN PARANG !!!

Monday 4 August 2014

TIGA SAHABAT DIKEJAR DENGAN PARANG !!!


BUKIT PELANDOK – Tiga sahabat yang dalam perjalanan pulang ke Kampung Pachitan selepas menghadiri majlis rumah terbuka di Lenggeng, berhadapan detik cemas apabila mereka dikejar oleh seorang lelaki sambil mengacu parang, tengah malam semalam.

Menurut Mohd Shafiq Azman, 24, sebelum kejadian, dia bersama rakannya Mohd Hafizan Jamil dan Mohd Syahidi Shahar masing-masing berusia 24 tahun terlibat dalam satu kemalangan kecil di Pekan Bukit Pelandok, kira-kira jam 12.20 tengah malam.

Mohd Shafiq memberitahu, insiden dipercayai berlaku apabila dia yang memandu kereta jenis Proton Waja terlanggar seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang melintas secara tiba-tiba.

“Saya memandu dalam kelajuan sekitar 50 hingga 60 kilometer sejam. Bagaimanapun ketika jarak kira-kira 20 meter, tiba-tiba ada seorang kanak-kanak melintas jalan.

“Saya sempat membrek kereta namun tidak berjaya mengelak dari melanggar kanak-kanak itu.

“Selepas perlanggaran itu, saya keluar dari kereta untuk memeriksa keadaan kanak-kanak itu namun saya pula dikerumuni oleh sekumpulan lelaki sekitar 10 orang dan salah seorang daripada mereka memegang parang panjang" katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sembunyi di celah-celah deretan premis kedai

Mohd Shafiq berkata, kunci kereta dirampas dan mereka dimarahi lelaki berkenaan sebelum sepakat untuk menyelesaikannya di Balai Polis Bukit Pelandok.

“Namun ketika kami menolak kereta untuk di parkir di bahu jalan, Mohd Hafizan telah dibelasah lebih daripada empat lelaki selepas dia keluar dari kereta kerana salah seorang lelaki itu bertindak menendang pintu kereta.

“Bagaimanapun, seorang lagi rakan saya, Mohd Syahidi bertindak membantu Mohd Hafizan. Namun kami tidak sangka lelaki yang memegang parang itu bertindak lebih agresif dengan mengejar Mohd Hafizan.

“Melihat tindakan lelaki itu, Mohd Hafizan lari lebih 200 meter untuk menyelamatkan diri dengan bersembunyi di celah-celah deretan kedai di Pekan Bukit Pelandok sebelum menghubungi rakan-rakan lain.

“Sementara saya dan Mohd Syahidi bernasib baik kerana ada seorang pakcik melalui kawasan itu dan menjadi orang tengah untuk menenteramkan sekumpulan lelaki itu," tambahnya lagi.

Tambahnya, akibat insiden itu, dianggarkan lebih 100 penduduk kampung keluar serta berhimpun di hadapan Balai Polis Bukit Pelandok sebelum bersurai sekitar jam 3.30 pagi.

Mangsa alami kerugian kira-kira RM2,000

Dalam pada itu tambah Mohd Shafiq, mujur ada polis peronda datang meleraikan ketegangan yang berlaku.

"Kami semua kemudian pergi ke Balai Polis Bukit Pelandok yang terletak berhampiran di kawasan kemalangan itu berlaku.

“Selepas berada di balai polis, barulah saya dapat menghubungi ibu bapa memaklumkan tentang kejadian itu," katanya.

Menurutnya, dia mengalami kerugian kira-kira RM2,000 apabila cermin hadapan keretanya pecah dan beberapa bahagian kereta kemik dalam kejadian itu.

“Nasib baik kami tidak mengalami cedera parah walaupun dibelasah," katanya.

Suspek kini diburu polis

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, ACP Abd Wahab Harun berkata, pihaknya telah mengenal pasti suspek terlibat.

"Kita sedang memburu mereka yang terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 440(a) Kanun Keseksaan melakukan khianat semasa membuat rusuhan dan kes kemalangan disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi semalam.

Abd Wahab berkata, siasatan awal polis mendapati, kejadian berlaku selepas insiden kemalangan membabitkan sebuah kereta yang bergesel dengan seorang kanak-kanak yang tiba-tiba melintas jalan.

“Sejurus kemalangan itu, sekumpulan lelaki telah merosakkan kereta dan menyerang pemandunya.

“Rentetan dari insiden itu, ketiga-tiga lelaki itu telah menghubungi ibu bapa masing-masing dan beberapa sahabat sehinggalah kejadian itu tersebar serta ramai penduduk kampung datang berkumpul di hadapan Balai Polis Bukit Pelandok.

“Bagaimanapun, polis berjaya menenteramkan keadaan dan membubarkan himpunan tersebut. Kanak-kanak dan bapanya serta tiga lelaki itu dihantar balik ke rumah masing-masing dengan diiringi oleh kereta peronda polis,” katanya.

Abd Wahab menambah, orang ramai turut diingatkan supaya tidak bertindak melulu dan melanggar peraturan undang-undang sedia ada.

“Serahkan tanggungjawab itu kepada pasukan polis dan polis akan mengambil tindakan yang telus berlandaskan undang-undang,” katanya lagi.
SH

No comments:

Post a Comment