ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: TOK PA MINTA PAS JELASKAN SOAL HUDUD KEPADA AHLI PARLIMEN !!!

Monday 14 April 2014

TOK PA MINTA PAS JELASKAN SOAL HUDUD KEPADA AHLI PARLIMEN !!!


KOTA BHARU: PAS Kelantan diseru memberi penerangan dan penjelasan kepada semua ahli parlimen mengenai rang undang-undang persendirian berhubung pelaksanaan hudud yang hendak dikemukakan di Dewan Rakyat tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed berkata penerangan dan penjelasan itu penting bagi membolehkan semua ahli parlimen itu faham tentang apa yang hendak dilakukan oleh kerajaan negeri Kelantan itu.

"Kalau PAS hendak kemukakan rang undang-undang ini dan mahukan sokongan ahli parlimen beragama Islam, PAS kena ada pendekatan untuk beri penjelasan lanjut … kepada ahli parlimen beragama Islam dan bukan Islam.

"Kita tidak boleh buat perkara ini dengan perkara yang tidak dirancang. Kita kena bincang dengan tokoh agama. Parti politik Islam dan orang Islam kena beri juga penerangan kepada orang bukan Islam. Hukum tetap hukum dan tidak boleh dipersoalkan," katanya semasa ditemui wartawan di sini, pada Ahad.

Jelas Mustapha, penerangan dan penjelasan itu penting bagi mengelakkan polemik yang timbul akibat salah faham berhubung hasrat kerajaan negeri PAS mahu melaksanakan undang-undang jenayah Islam.

Mustapha juga mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom memberi penerangan kepada Majlis Tertinggi UMNO mengenai hasrat kerajaan negeri Kelantan itu dalam mesyuaratnya yang akan datang.

Jamil Khir dalam satu kenyataan di Dewan Rakyat baru-baru ini menyatakan kesediaan kerajaan Persekutuan menyokong mana-mana negeri yang mahu melaksanakan undang-undang jenayah Islam, hudud dan qisas.

Sebagai reaksi kepada kenyataan itu, mesyuarat exco negeri Kelantan membuat ketetapan menyiapkan dua rang undang-undang persendirian untuk dibentang di Parlimen bagi membolehkan hudud dilaksanakan di negeri itu.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini menyatakan kesediaan untuk melobi ahli parlimen UMNO untuk menyokong rang undang-undang persendirian yang akan membuka jalan kepada pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2 Kelantan di negeri itu seawal-awalnya pada tahun depan.

Jelas Annuar, UMNO mempunyai 87 ahli parlimen yang beragama Islam dan beliau percaya sebahagian besar akan menyokong hasrat kerajaan negeri Kelantan itu.

“Saya sudah bercakap sebahagian besar Ahli Parlimen UMNO dan mereka positif untuk menyokong,” katanya seperti dipetik oleh Sinar Harian baru-baru ini.

Hasrat kerajaan negeri Kelantan itu bagaimanapun mendapat bantahan keras daripada sekutunya dalam Pakatan Rakyat, khususnya DAP.

No comments:

Post a Comment