Gambar Hiasan |
Memang jarang dapat bertemu seorang gadis berkelulusan peringkat ijazah dari universiti tempatan, memilih kerja sebagai pengawal keselamatan.
Pekerjaan yang kerap dipandang rendah olah masyarakat itu, bukan saja tidak setaraf dengan kelulusan yang dimiliki bahkan seakan tidak sesuai dengan fizikal wanitanya yang kecil molek.
Peluang berkongsi cerita dengan Diana, 26, (bukan nama sebenar) bukan mudah kerana gadis ini awalnya memilih untuk menyimpan segala cerita peribadi tentang dirinya.
Namun setelah dipujuk dan diyakini kisah ini bukan untuk membuka aib sesiapa, dia akhirnya bersetuju.
Kata gadis berkulit cerah ini, kisah hitam dirinya bermula dari zaman universiti, selepas mula mengenal pusat hiburan dan kelab malam.
"Saya memang anak jati Kuala Lumpur, lahir dan dibesarkan di ibu kota ini. Kehidupan keluarga saya memang sederhana, kami tinggal di rumah pangsa yang terletak betul-betul di tengah bandar.
"Sejak memasuki universiti saya dapat rasakan kehidupan saya begitu bebas, umpama burung yang terlepas dari sangkar. Saya rasakan seolah dunia ini saya yang punya.
"Walau seronok ke kuliah bertemu rakan-rakan baru, dunia kelab malam lebih mengujakan saya," katanya memulakan bicara.
Bagi Diana, seakan satu rutin yang tidak lengkap jika sekali dalam seminggu tidak mengunjungi tempat-tempat hiburan tersebut.
Namakan apa sahaja kelab di sekitar Lembah Klang yang terkenal, semuanya pernah dikunjunginya.
Rutin tersebut menjadi-jadi setiap hari Rabu malam Khamis kerana Ladies Night, iaitu pada malam tersebut wanita tidak perlu mengeluarkan sebarang belanja untuk makan dan minum kerana kosnya dibiayai lelaki.
Sesuai sangatlah untuk pelajar sepertinya yang belum memiliki sebarang pendapatan selain bantuan pinjaman pelajaran.
"Daripada seminggu sekali menjadi dua kali seminggu saya, ada kalanya hampir setiap malam. Memang rasa tidak lengkap hidup jika tidak ke kelab malam. Mulanya hanya minum air berkarbonat kemudian sedikit demi sedikit belajar minum arak.
"Asalnya saya diperdaya tetapi apabila berasakan nikmatnya, saya mula sedap meneguk air haram tersebut. Langsung tiada rasa bersalah, malah makin teruja menikmatinya dengan iringan muzik dan tarian yang melalaikan," cerita Diana dengan nada tersekat-sekat.
Bertemu kekasih
Selepas hampir setahun bergelumang dengan aktiviti kelab, Diana akhirnya dipertemukan dengan seorang lelaki yang dikatakan mengambil berat tentang dirinya.
Perkenalan Diana dan Hafiq (bukan nama sebenar) diatur oleh seorang rakan.
"Saya seronok berkenalan dengan Hafiq. Sejak berkenalan dengan dia yang boleh dikategorikan berada, saya makin dimanjakan, hidup saya juga makin mewah dengan barangan yang berjenama dan mahal.
"Pernah rakan sebilik bertanya aktiviti saya, namun bagi saya rakan sebegitu hanya mahu menjaga tepi kain orang sahaja. Walau sibuk dengan teman baru, saya tidak pernah diabaikan pelajaran. Segala tugasan mampu disiapkan dan keputusan peperiksaan juga boleh dikatakan baik.
"Apapun, aktiviti luar tetap berterusan. Biasanya, setiap kali habis kuliah, Hafiq sudah menunggu saya di luar kawasan universiti dengan kereta mewahnya. Memang saya bangga apabila ada kawan-kawan yang memandang," akuinya.
Namun kegembiraan tersebut tidak lama, apabila Hafiq ditakdirkan menemui ajal dalam satu kemalangan jalan raya yang tragis.
Diana yang sukar menerima hakikat, semakin ligat bertunggu-tangga di kelab malam atas alasan untuk mengubati kesedihan dan kerinduan terhadap Hafiq.
Bertaubat
"Entah kenapa saya jadi begitu, langsung tidak terfikir untuk bersolat atau bertaubat selepas teman lelaki meninggal dunia. Saya semakin hanyut, lelaki silih berganti dalam hidup saya.
"Tidak perlulah saya bercerita pada kakak apa aktiviti saya secara terperinci, cukuplah saya katakan di sini bahawa kehidupan di kelab malam memang menghancurkan," ujarnya dalam nada lebih serius.
Dalam pada itu, Diana mengakui ibunya merupakan insan paling sedih dengan keadaan dirinya yang semakin tidak tentu hala.
Dia tahu setiap hari ibunya berdoa agar dirinya berubah dan kembali ke pangkal jalan.
Mujurlah, segala yang berlaku tidak membuatkan Diana terkandas dalam pelajaran dan akhirnya memperoleh segulung ijazah.
"Satu petang saya mendengar azan Maghrib yang sayup di balkoni kediaman ibu saya. Ketika itu hati berasa begitu sayu dan malu kepada Allah. Saya menitiskan air mata tanpa henti. Tangisan saya jadi makin kuat dan akhirnya ditenteramkan ibu.
"Alhamdulillah pelbagai peristiwa terjadi dan membuatkan saya jatuh terduduk, namun ibu bapa saya tetap menerima saya dan masih mahu membimbing saya ke jalan yang benar.
"Kenapa saya tidak mahu bekerja mengikut kelayakan saya kerana bagi saya biarlah saya bertugas dekat
dengan kediaman ibu bapa saya yang sudah tua, saya mahu menabur bakti kepada mereka dan pada masa yang sama kepada masyarakat juga.
Biarlah, walau saya memiliki ijazah
seka kalau inilah pekerjaan yang boleh membuatkan saya tenang, saya reda," katanya yang memilih pekerjaan tersebut kerana mahu mengenal erti kepayahan, menguji kesabaran di samping membentuk disiplin diri.
Hampir tiga bulan bekerja, Diana berjaya dinaikkan pangkat dan kini dia bukan sahaja bahagia dengan kerjayanya, malah bakal menamatkan zaman bujang bersama jodoh pilihan ibunya yang berstatus seorang ustaz.
utusan malaysia
No comments:
Post a Comment