BATU PAHAT: Kematian seorang bayi berusia 64 hari di Kampung Seri Ladang, Rengit, Jumaat lalu, menimbulkan misteri kerana mangsa yang dilaporkan hilang, ditemui dalam keadaan kaku dan lengkap berpakaian dalam periuk di dapur rumahnya.
Malah, ini bukan kali pertama pasangan Mohd Noor Salleh, 58, dan Zarinah Dahalan, 42, kematian anak, sebaliknya dua anak mereka sebelum ini turut meninggal dunia pada usia kurang tiga bulan. Ibu mentua Mohd Noor, Salasiah Ahmad, 67, berkata selepas kelahiran anak sulung mereka, Asyraful Iqbal, yang kini berusia 15 tahun, tiga anak pasangan itu meninggal dunia dalam usia kurang tiga bulan.
Anak kedua pasangan itu, Nor Alia, meninggal dunia pada 2003 ketika berusia tiga bulan kerana tersedak susu, manakala anak ketiga, Siti Salmah, meninggal dunia pada 2010 dalam usia 44 hari selepas dilahirkan tidak cukup umur.
Terbaru, Jumaat lalu, anak keempat pasangan itu, Asyraful Iskandar Mohd Salleh, pula ditemui meninggal dunia dalam periuk secara misteri.
"Sebelum ini kami anak beranak hidup aman serta tiada gangguan melainkan pernah terdengar bacaan ayat al-Quran, marhaban, selain terhidu masakan kari dan kopi di belakang rumah yang mempunyai sungai tetapi itu bukan masalah besar kerana selama ini ia tidak menimbulkan sebarang gangguan kepada kami," katanya.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad, ketika dihubungi berkata bedah siasat tidak menemui sebarang kesan mencurigakan pada mayat bayi terbabit.
“Kejadian ini tidak mempunyai sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut," katanya.
Sementara itu, Mohd Noor berkata beliau sempat menjenguk anak bongsunya itu yang nyenyak tidur dalam buaian sebelum ke Klinik Kesihatan Sri Merlong untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, kira-kira jam 8 pagi.
"Saya ke klinik tidak jauh dari rumah bagi menjalani ujian tekanan darah dan sebelum ke sana, saya sempat menjenguk Asyraful yang ketika itu sedang nyenyak tidur.
"Bagaimanapun, sejurus pulang ke rumah setengah jam kemudian, isteri saya yang panik memaklumkan bayi kami hilang daripada buaian.
“Saya yang terkejut, memaklumkan jiran tetangga sebelum orang kampung membantu mencari serta anak saya. Kami tidak berjumpa sebarang jejak, membuatkan saya bergegas membuat laporan di Balai Polis Rengit," katanya.
Mohd Noor berkata, sepasukan anggota polis termasuk pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat kemudian tiba sebelum memeriksa segenap ceruk kediamannya.
"Selepas kira-kira sejam membuat pemeriksaan, anggota polis menemui anak bongsu saya dalam sebuah periuk sederhana besar dalam almari kabinet dapur dalam keadaan kaku terbaring lengkap berpakaian seperti sedang tidur,” katanya.
sumber : pilihan-anda
No comments:
Post a Comment