ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: "BUAT ANAK" LEPAS TU JUAL ANAK !!!

Thursday 24 April 2014

"BUAT ANAK" LEPAS TU JUAL ANAK !!!


PENGARAH Urusan Rumah Jagaan Kanak-Kanak Nur Salam di Chow Kit, Kuala lumpur, Hartini Zainudin, 50, mendedahkan, masih ada kes bayi dan kanak-kanak gelandangan yang dijual serta menjadi mangsa kegiatan pelacuran di Malaysia.

Hartini yang berpengalaman luas berhubung isu pemerdagangan kanak-kanak khususnya di Chow Kit memberitahu, banyak faktor yang menyebabkan golongan itu mudah terjerat.

"Ada sebahagian kanak-kanak dijanjikan pekerjaan seperti di hotel dan spa, kemudian apabila dewasa mereka kononnya akan berkahwin dan hidup bahagia.

"Namun, ada yang lebih malang apabila mereka dijual keluarga sendiri atau diculik oleh sindiket sebelum dijual," katanya.

Kanak-kanak didefinisikan oleh undang-undang antarabangsa sebagai mereka yang berumur bawah 18 tahun.

Kata Hartini, kebanyakan remaja digunakan untuk pelacuran atau seks manakala kanak-kanak bawah 10 tahun dieksploitasi sebagai peminta sedekah.

Malang kepada bayi pula, mereka dijual dengan harga tertentu kepada pasangan yang tidak mempunyai anak.

"Bayi yang dijual berharga antara RM2,000 hingga RM10,000 manakala kanak-kanak antara RM1,000 hingga RM3,000.

"Ini kerana ibu bayi tersebut tidak mampu menyara mereka selain tekanan yang diberikan oleh ibu dan juga bapa ayam. Itu menyebabkan mereka mengambil tindakan nekad menjual sahaja bayi tersebut," katanya.

Bukan warganegara

Hartini memberitahu, kerajaan kini memandang serius isu pemerdagangan orang terutamanya bayi dan kanak-kanak dengan penguatkuasaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

"Kebanyakan wanita yang melahirkan bayi terdiri daripada wanita yang terlibat dengan kegiatan pelacuran.

"Ada dalam kalangan mereka yang bukan warganegara seperti wanita Vietnam dan Myanmar serta tidak mempunyai dokumen diri. Ini mendorong mereka mengambil jalan mudah dengan menjualkannya sahaja bayi mereka.

"Akhirnya, apabila bayi itu dewasa kelak mereka terdedah kepada pelbagai perkara negatif termasuk melakukan jenayah akibat tidak mempunyai pelajaran serta tidak mendapat kemudahan kesihatan dan makanan yang secukupnya," ujarnya.

Tutur Hartini, sebanyak 80 peratus kanak-kanak gelandangan tidak mempunyai identiti diri apatah lagi hak kewarganegaraan.

"Ini kerana proses untuk mengenal pasti keturunan mereka mengambil masa selama bertahun-tahun di samping menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

"Warga tempatan sekali pun cukup sukar untuk mengesan ibu bapa sebenar mereka inikan pula warga asing. Tetapi lebih baik kita menjaga dan memenuhi keperluan mereka daripada membiarkan hidup mereka terus terumbang-ambing," ujarnya.

Bagi Timbalan Yang Dipertua Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Datuk Faridah Khalid, mangsa jenayah pemerdagangan manusia di negara ini sering dijanjikan dengan pelbagai harapan sebelum diperdaya.

"Mangsa jenayah ini direkrut dengan cara tipu helah, pujuk rayu, janji-janji palsu, paksaan, kekerasan, godaan, ancaman, penculikan dan pemalsuan.

"Mereka kemudian dieksploitasi dalam bentuk seks, pelacuran, buruh paksaan, perhambaan, peminta sedekah, penjualan bayi dan pemindahan organ manusia oleh seseorang atau kumpulan yang inginkan keuntungan," katanya.

Tambah Faridah, jenayah tersebut merupakan satu bentuk perhambaan zaman moden apabila manusia dijadikan barangan dagangan yang membawa keuntungan lumayan.

"Sehingga kini kira-kira 70 peratus mangsa jenayah ini merupakan wanita kerana golongan tersebut dilihat mampu memberikan keuntungan lumayan kepada sindiket terbabit selain mudah terpedaya," ujar Faridah.
sumber : paapaada

No comments:

Post a Comment