ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PASUKAN KESELAMATAN DIBERI KUASA TEMBAK PENCEROBOH

Monday 14 July 2014

PASUKAN KESELAMATAN DIBERI KUASA TEMBAK PENCEROBOH


KANGAR - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pasukan keselamatan diberi kuasa untuk menembak mana-mana pihak yang didapati menceroboh perairan negara.


"Kerajaan tiada sebarang masalah jika itu (menembak) boleh halang penceroboh daripada memasuki Malaysia," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar yang meminta kerajaan membenarkan pasukan keselamatan menembak mana-mana pihak atau kumpulan yang menceroboh perairan Sabah.

Kenyataan Abdul Aziz itu menyusuli kejadian serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata berat di Pulau Mabul, Semporna pada Sabtu lepas yang mengorbankan seorang anggota polis marin manakala seorang lagi dilarikan.

Mengenai pandangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar sistem kawalan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (Esscom) diteliti semula, Ahmad Zahid berkata beberapa perubahan akan diperkenalkan apabila operasi Esscom diambil alih oleh Polis Diraja Malaysia.

"Kita juga harus lebih proaktif, tidak boleh tunggu mereka menyerang baru nak ambil tindakan. Perubahan baru ini termasuk kaedah pengendalian dan pengawasan yang lebih tegas," katanya.

Ahmad Zahid berkata semua pasukan keselamatan di perairan timur Sabah juga sudah diarahkan agar lebih berwaspada.

"Kerajaan juga berharap nelayan, pemilik bot dan penduduk di perkampungan air bekerjasama dengan pihak berkuasa. Penceroboh tidak ada hasrat menghormati atau patuh undang-undang kita dan sebab itu kita tidak boleh bertolak ansur soal keselamatan negara dengan kumpulan ini," katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga dua anggota polis terbabit.

Dalam kejadian 11.10 malam itu, Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, terkorban dan rakan setugasnya Konstabel Zakia Aliep, 26, diculik. - Bernama


TLDM Mohon Lepas Tembakan Pada Penceroboh



LUMUT – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan memohon kepada kerajaan untuk membenarkan pasukan keselamatan melepaskan tembakan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang menceroboh masuk kawasan perairan Sabah.
Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, cadangan peraturan itu sebagai salah satu usaha untuk menghalang kumpulan pengganas dari Filipina menceroboh masuk ke negara ini.
Beliau berkata peraturan sedia ada tidak membenarkan pasukan keselamatan menembak apabila ternampak (shoot on sight) yang menghalang pasukan keselamatan termasuk TLDM untuk membanteras kumpulan pengganas.
“Saya fikir sudah tiba masanya Peguam Negara harus memikirkan perkara ini supaya memudahkan pengawasan untuk keselamatan perairan negara di Pantai Timur Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden pencerobohan terbaharu di Semporna, Sabah yang mengakibatkan seorang anggota polis marin terbunuh dan seorang lagi hilang dipercayai diculik.
Dalam kejadian Sabtu lepas, sekumpulan lapan lelaki yang lengkap bersenjata menyerang hendap sebuah resort di Pulau Mabul dan membunuh seorang anggota polis marin Koperal Ab Rajah Jamuan, 32, dan menculik Konstabel Zakia Aleip, 26.
Beliau berkata, penceroboh tidak takut dengan pihak berkuasa kerana mereka tahu pasukan itu hanya memberi amaran supaya berhenti dan tidak akan melepaskan tembakan.
“Kalau kita bagi amaran berhenti, mereka tidak akan berbuat demikian dan akan sentiasa berjaya melepaskan diri, oleh itu perkara ini tidak boleh dibiarkan,” katanya.
Terdahulu, beliau menyaksikan majlis serah terima tugas Panglima Armada yang baharu iaitu Laksamana Madya Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli bagi menggantikan Laksamana Madya Datuk Abdul Hadi A. Rashid yang bersara wajib. – BERNAMA

No comments:

Post a Comment