Israel serang masjid, korban di Gaza cecah 121 orang Agensi Serangan udara tentera Israel ke atas Gaza menghentam sebuah masjid di Gaza yang didakwa jadi tempat pejuang Palestin menyembunyikan senjata, lapor agensi berita The Associated Press (AP).
Angka korban serangan sejak Selasa itu pada Sabtu mencecah 120 orang manakala mereka yang cedera hampir 1,000 orang.
Lima hari selepas Operasi Perlindungan Sempadan dilancarkan oleh rejim Zionis, belum ada tanda-tanda serangan itu akan kendur atau dihentikan.
Hamas memaklumkan dua buah masjid dijadikan sasaran serangan Israel dan ia berharap insiden ini akan membuka mata dunia Islam terhadap kekejaman yang sedang berlaku.
"Pengeboman ke atas dua buah masjid di Gaza ini menunjukkan betapa kejamnya mereka dan bagaimana bencinya mereka kepada Islam," kata Husam Badran, jurucakap Hamas di Doha, Qatar seperti dipetik oleh AP.
"Keganasan ini memberi hak kepada kami untuk meluaskan tindak balas."
Tentera Israel mengeluarkan gambar dari udara yang menunjukkan masjid yang jadi sasarannya yang didakwa tempat senjata disorok. Ia menuduh Hamas, Jihad Islam dan kumpulan pejuang yang lain menyalahgunakan rumah ibadat untuk menyembunyikan senjata senjata jadi rangkaian laluan tikus bawah tanah.
Israel mendakwa tindakan pejuang Palestin itu sendirilah yang mengancam nyawa penduduk awam.
Pejuang Gaza dilaporkan sudah melepaskan hampir 700 roket dan mortar sepanjang lima hari ini. Sistem pertahanan Israel, Iron Dome yang dibangunkan dengan dana Amerika Syarikat setakat ini dilaporkan berjaya menangkis 130 daripadanya. Serangan balas dari Gaza itu setakat ini belum membunuh rakyat Israel.
Tentera Israel sebaliknya mengumumkan telah berjaya memusnahkan 1,100 sasaran termasuk pelancar roket, pusat operasi, kilang serta gudang senjata.
Ini adalah serangan paling dahsyat ke atas Gaza sejak kempen lapan hari pada akhir 2012 dan dua kali ganda lebih ganas berbanding serangan itu.
Keganasan ini meletus susulan kes culik dan bunuh tiga remaja Israel di Tebing Barat serta tindak balas sama ke atas seorang remaja Palestin sebagai balas dendam.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bertegas akan meneruskan kempen sehingga pejuang Palestin berhenti mengirimkan roket dari Gaza. Israel juga telah mengerahkan sukarelawan simpanannya di sempadan bersiap-sedia untuk serangan darat.
Israel meneruskan pembantaiannya ini biarpun dunia mengutuk dan menggesa ia dihentikan segera. Menteri Luar Liga Arab dijadual mengadakan mesyuarat tergempar di Kaherah pada Isnin untuk membincang langkah-langkah menggesa tekanan antarabangsa ke atas Israel.
No comments:
Post a Comment