ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: ASSALAM JUMAAT YANG PENUH BAROKAH

Friday, 11 July 2014

ASSALAM JUMAAT YANG PENUH BAROKAH


بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

Alhamdulillah. Ucapan syukur yang tidak terhingga buat Allah SWT. Pagi Jumaat yang penuh barakah. Masih diberi peluang meneruskan sisa hidup di dunia. Umur semakin bertambah, perjalanan semakin hampir ke perhentiannya. Ya Allah, pimpinlah aku menusuri perjalanan ini ke penghujungnya. Tika ini mungkin beringat, bimbang satu saat diri terleka dan terlepas bebas tanpa kawalan. Alangkah ruginya jika tidak sempat bertaubat. Ampuni hamba-Mu yang hina dan dina ini Ya Ghaffar.

Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. Tanda cinta, perbanyakkan selawat ke atas baginda. Budi dan jasa Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W tidak ada tandingan walau dihimpunkan seluruh umatnya sekalipun. Bisakah cinta bertandang andai peribadi agung itu tidak pernah dirindui? Akankah rindu berputik andai insan termulia itu tidak pernah dikenali. Mari bermuhasabah agar kita fahami erti kenal dan cinta yang benar. Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa ‘Ala Alihi Muhammad.

Hari Jumaat ialah hari kebesaran Islam bagi orang mukmin. Hari yang mulia ditentukan buat umat Muhammad S.A.W. Pada hari itu kepada sesiapa yang berdoa Allah akan memakbulkan doanya. Setiap muslim dikehendaki mempersiapkan diri untuk hari Jumaat mulai dari hari Khamis dengan membersihkan pakaian dan memperbanyakkan tasbih serta memohon keampunan kepada Allah SWT pada malam Jumaat lagi. Kerana pada masa itu nilai mulianya sama dengan masa yang dirahsiakan oleh tuhan pada hari Jumaat.

Pada subuh hari Jumaat, maka setiap muslim digalakkan mandi, kemudian memakai pakaian yang berwarna putih kerana pakaian putih lebih disukai Allah. Pakailah minyak wangi yang diharuskan dan berhiaslah dengan memotong rambut, mencukur kumis, memotong kuku dan menggosok gigi.

Sesudah itu bersegeralah ke masjid. Sabda Rasulullah SAW: " Sesiapa yang masuk dahulu ke dalam masjid pada hari Jumaat untuk sembahyang Jumaat, maka seolah-olah dia sudah berkorban dengan seekor unta dan orang yang masuk pada waktu yang kedua berkorban dengan seekor lembu dan yang masuk pada waktu ketiga maka seolah-olah dia berkorban dengan seekor kambing dan siapa yang masuk ke masjid pada waktu keempat  maka seolah-olah ia berkorban dengan seekor ayam, dan orang yang masuk waktu kelima maka seolah-olah dia berkorban dengan sebutir telor. Maka apabila naik imam ke atas mimbar ditutupnya buku catatan dan diletakanlah pena oleh malaikat dan mereka berkumpul dekat mimbar mendengar khutbah"

Kemudian apabila seseorang memasuki masjid, maka ambillah saf pertama dan apabila saf itu sudah penuh ambillah tempat yang kosong dan jangan melangkahi bahu orang lain serta jangan lalu di hadapan orang sedang sembahyang.
وَ السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

No comments:

Post a Comment