ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: HUDUD : HARON DIN MINTA DAP JANGAN GANGGU PAS KELANTAN !!! (VIDEO INSIDE)

Saturday 5 April 2014

HUDUD : HARON DIN MINTA DAP JANGAN GANGGU PAS KELANTAN !!! (VIDEO INSIDE)


SHAH ALAM: Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr. Haron Din meminta DAP tidak mengganggu urusan pentadbiran PAS Kelantan yang mahu melaksanakan Enakmen Mahkamah Jenayah Syariah Kelantan II atau hudud di negeri itu.

Beliau menegaskan, kesefahaman dan keharmonian antara PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pakatan Rakyat (PR) dalam mengurus tadbir negeri masing-masing yang berjalan dengan lancar selama ini perlu dipelihara. 

Justeru, sepertimana PKR memerintah Selangor dan DAP menerajui Pulau Pinang tanpa campur tangan rakan parti komponen PR maka seharusnya usaha kerajaan PAS Kelantan itu juga tidak dibidas oleh DAP.

"Sementara menunggu tercapainya matlamat akhir iaitu menubuhkan kerajaan (Pusat) kita diberi kesempatan untuk memerintah negeri maka berlaku seperti sekarang ini, ada negeri PKR, yang mana Kelantan diperintah PAS dengan agendanya.

"DAP di Pulau Pinang telah kita lihat program agendanya berjalan. PKR dengan Selangornya."

"Kita tidak pernah mengganggu urusan kerajaan DAP di Pulau Pinang dan juga tidak pernah mengganggu gugat polisi PKR Selangor.

"Seperti itulah saya harapkan agenda politik PAS di kelantan berjalan dengan tidak ada gangguan daripada kawan-kawan Pakatan," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi. 

Semalam Ahli Parlimen Gelugor, Karpal Singh buat sekian kalinya membidas usaha kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan Enakmen Mahkamah Jenayah Syariah Kelantan II atau hudud.

Karpal menegaskan, pelaksanaan hukum Hudud walaupun telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada 1993 namun bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bantahan itu susulan daripada langkah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bercadang membentangkan usul rang undang-undang persendirian menerusi ahli Parlimennya bagi membuat pengisytiharan enakmen berkenaan agar dapat dilaksanakan di negeri itu.

Ahmad menjelaskan, jika Parlimen meluluskan usul berkenaan, maka kerajaan Kelantan akan melaksanakan hudud seawal tahun hadapan.

Karpal yang juga bekas Pengerusi DAP seterusnya berpendapat kenyataan Ahmad sebagai tidak tepat dan pendirian DAP jelas sejak dahulu tidak akan berkompromi di dalam perlaksanaan hudud.

Mengulas lanjut, Dr. Haron seterusnya mengakui bahawa perjuangan asas ketiga tiga parti dalam PR berbeza. 

Namun yang menyatupadukan tiga parti pembangkang itu adalah matlamatnya untuk menjatuhkan seterunya dan akhirnya menubuhkan sebuah kerajaan kelak. 

"Pakatan Rakyat menggabungkan tiga parti yang memang masing-masing mempunyai perjuangan asasnya sendiri.

"Perjuangan asas ini memanglah hakikatnya berbeza, DAP dengan agendanya, PKR dengan agendanya begitu juga dengan PAS.

"Kita (PR) hanya bergabung atas kepentingan bersama bagi menghadapi musuh politik bersama dengan lunas-lunas demokrasi membolehkan kita capai matlamat bersama menubuhkan kerajaan PR," jelasnya.
Antarapos

No comments:

Post a Comment