ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: TUN M JAWAB TUDUHAN MUSA HITAM BERKENAAN ISU MEMALI.

Friday, 11 April 2014

TUN M JAWAB TUDUHAN MUSA HITAM BERKENAAN ISU MEMALI.

memali
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengatakan beliau tidak ingat apakah bekas timbalannya, Tun Musa Hitam ada menasihati beliau supaya menangguhkan lawatan kerja ke China susulan insiden berdarah di Memali pada 19 November 1985.

“Saya tidak ingat yang Tun Musa datang berjumpa saya untuk saya tidak pergi ke Beijing tetapi beliau berada di lapangan terbang bersama dengan ramai orang yang ingin ucap selamat pemergian saya ke Cina."

“Di waktu itu pun saya tidak ingat yang Tun Musa menasihat supaya saya tidak pergi luar negeri,” katanya dalam satu makalah di blognya, chedet.cc.

Dr. Mahathir berlepas ke Beijing sehari selepas kejadian Memali untuk mengepalai rombongan swasta yang amat besar untuk negara katanya, meninjau peluang dagang dengan negara China yang baru sahaja dibuka untuk penyertaan peniaga luar.

Beliau juga yakin Musa sebagai Timbalan Perdana Menteri dapat menangani keadaan “sehingga saya lantik beliau sebagai Pemangku Perdana Menteri” dan sepanjang berada di luar negara, tidak ada apa-apa yang berlaku yang tidak boleh ditangani oleh Timbalan Perdana Menteri yang memangku jawatan Perdana Menteri.

Dr. Mahathir menulis makalah itu sebagai menjawab kenyataan Musa baru-baru ini bahawa bekas Perdana Menteri itu berada di tanahair semasa kejadian Memali dan beliau bukan memangku tugas Perdana Menteri.

Isu siapa yang ada dan tidak ada di dalam negara pada masa kejadian itu timbul semula selepas Musa dalam satu forum di Kota Bharu, Kelantan pada 27 Mac lepas mendedahkan bahawa Dr. Mahathir berada di Kuala Lumpur “dua tiga hari” selepas insiden itu berlaku.

Dalam satu penjelasan lebih kurang seminggu selepas forum itu, Musa berkata beliau memohon Dr Mahathir supaya menangguhkan lawatan ke China selepas kejadian tersebut atas tiga alasan: kejadian itu melibatkan orang Melayu beragama Islam, kejadian berlaku di Kedah, negeri Dr. Mahathir sendiri dan ketiga, dengan menangguhkan lawatan ke China, Dr Mahathir memperlihatkan sifat mengambil berat terhadap peristiwa yang telah berlaku di dalam negeri.

Menurut Dr. Mahathir, soal beliau kononnya tidak ada dalam negeri semasa kejadian itu berlaku bukan disebarkan oleh dirinya sendiri. Malah dalam bukunya pun, beliau tidak sebut perkara itu, katanya yang dilihat merujuk kepada memoirnya, A Doctor in the House yang juga diterjemahkan dengan judul Doktor Umum.

Jelas Dr. Mahathir, apa yang diketahui umum ialah Musa pada masa itu merupakan Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Perdana Menteri.

“Sebagai Menteri Dalam Negeri rundingan dan laporan oleh Ketua Polis Negara dibuat kepadanya. Menteri Dalam Negeri juga terlibat dalam memutuskan tindakan yang diambil."

“Jika hanya apabila semua berjalan dengan baik pengakuan bertanggungjawab dibuat, tentulah ini kurang manis,” katanya.
Suara TV

No comments:

Post a Comment