ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: POLIS KELANTAN RAMPAS PIL KUDA HAMPIR RM1 JUTA !!!

Tuesday 1 April 2014

POLIS KELANTAN RAMPAS PIL KUDA HAMPIR RM1 JUTA !!!


KOTA BHARU - Polis menahan sepasang suami isteri bersama 39,399 biji pil dipercayai pil kuda yang dianggar bernilai hampir RM1 juta di Kampung Gual Tinggi, Rantau Panjang, semalam. 

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata pasangan itu yang berumur 21 dan 25 tahun ditahan pada 2.45 pagi di rumah mereka oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan. 

"Pemeriksaan ke atas pasangan terbabit membawa kepada penemuan beberapa biji pil yang disyaki pil kuda.

"Setelah disoal siasat, suspek membawa polis ke tempat dadah disembunyikan yang mana kesemua dadah itu diletakkan di dalam sebuah tin milo dan sebuah tong plastik yang ditanam dalam tanah yang terletak di hutan belakang rumah suspek," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Jalaluddin berkata pihaknya turut menyita wang tunai RM39,599 dan mata wang Thailand 9,000 Bath, serta sebuah kereta Proton Wira dan sebuah motosikal. 

Jalaluddin berkata dadah itu disyaki untuk diedarkan di seluruh Kelantan dan  ujian awal saringan air kencing kedua-duanya didapati negatif serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata pasangan itu direman selama seminggu bermula semalam untuk siasatan lanjut. 

Sementara itu, beliau berkata sehingga Jan hingga Mac tahun ini pihaknya menahan 239 pengedar dadah di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.    

"Pihak polis komited menangani kes pengedaran dadah di kawasan sempadan dan dalam tempoh berkenaan 1,582 tangkapan dilakukan dengan 60,215 pil kuda dirampas.

Dalam perkembangan lain, Jalaluddin berkata orang ramai dialu-alukan untuk hadir ke IPK Kelantan esok bagi memeriahkan Karnival Kesihatan Sepanjang Hayat bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan dirasmikan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
   
"Ini merupakan program yang julung kali diadakan yang mana 53 kiosk kesihatan akan dibuka jadi orang ramai boleh hadir untuk melakukan pemeriksaan kesihatan," katanya. 
Bernama

No comments:

Post a Comment