ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: IBARAT "HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI" !!!

Monday 7 April 2014

IBARAT "HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI" !!!


SETIU: Ibarat harapkan pagar, pagar makan padi apabila seorang bilal sebuah masjid di daerah ini didapati positif dadah jenis pil kuda dalam ujian air kencing yang dilakukan terhadapnya, semalam.

Bilal berusia 36 tahun itu diperiksa sepasukan polis diketuai Ketua Balai Polis Chalok, Sarjan Mejar Abdullah Idris, yang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan masjid berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Ketika ditahan, bilal terbabit menjalankan kerja pembersihan dalam kawasan masjid itu.

Polis melakukan rondaan di masjid dan kawasan sekitarnya berikutan menerima banyak aduan daripada orang ramai berhubung kejadian curi barang ketika menunaikan solat di situ dan keadaan meningkat sejak kebelakangan ini terutama pada waktu Subuh.

Ketika disoal siasat, lelaki yang mendakwa bilal di masjid itu berkata, dia lebih suka melakukan kerja membersih masjid pada waktu malam hingga pagi kerana ketika itu mudah untuknya menjalankan tugasan berkenaan tanpa gangguan.

Melihat keadaan bilal itu yang mencurigakan ketika disoal siasat, polis memintanya melakukan ujian air kencing dan hasil ujian mendapati dia positif dadah jenis pil kuda.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Shaik Othman Abdul Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan masih menunggu laporan terperinci pegawainya berhubung soal siasat ke atas suspek.

Katanya, rondaan polis di kawasan masjid dan sekitar kampung berkenaan lebih memberi penekanan terhadap aduan orang ramai berhubung kes kecurian barangan yang kerap berlaku di masjid itu ketika mereka menunaikan solat.

“Kami tidak syak bilal terbabit mencuri atau melakukan jenayah lain, tetapi selepas ujian pemeriksaan air kencing dilakukan terhadapnya, dia didapati positif dadah.

“Pada masa sama, polis banyak menerima aduan kes kecurian barangan ketika orang ramai singgah untuk solat di masjid itu sejak kebelakangan ini,” katanya.

Sementara itu, Abdullah berkata, kes bilal itu juga akan dirujuk kepada pejabat agama daerah untuk rujukan lanjut.
Sumber

No comments:

Post a Comment