ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: EMPAT SEKELUARGA DIIKAT PEROMPAK !!!

Thursday 3 April 2014

EMPAT SEKELUARGA DIIKAT PEROMPAK !!!

Kereta mangsa yang dilarikan sekumpulan suspek dan ditemui semula di sebuah stesen minyak di Parit Buntar. Gambar kecil: Superitendan Mat Fauzi.
KUALA KURAU - Sebuah keluarga menempuh detik cemas apabila diikat sekumpulan perompak yang memecah masuk rumah mereka selain melarikan sebuah kereta di Parit Haji Ali, Kedua Dua di sini pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superitendan Mat Fauzi Nayan berkata, dalam kejadian jam 4 pagi, rumah mangsa sekeluarga dipecah masuk tiga lelaki bertopeng bersenjatakan parang.

Menurutnya, ketika kejadian, mangsa yang berusia 34 tahun bekerja sebagai penolong pengurus di sebuah kilang tempatan sedang tidur bersama suaminya sebelum dikejutkan dengan bunyi bising di ruang tamu.

“Mangsa dan suaminya yang keluar dari bilik tidur untuk meninjau keadaan ruang tamu rumah, terkejut mendapati tiga lelaki bertopeng menahan ibu dan bapa saudara mangsa.

“Kumpulan suspek mengugut mangsa agar tidak melawan, sebelum mengarahkan mereka mengikat tangan dan kaki antara satu sama lain menggunakan wayar telefon yang dipotong,” katanya ketika ditemui media di sini, semalam.

Mat Fauzi berkata, ketiga-tiga suspek kemudian menggeledah rumah mangsa sebelum melarikan beberapa barangan berharga.

Antara barangan yang dilarikan adalah barangan kemas jam tangan berjenama, telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM2,500 dan kereta jenis Proton Wira milik suami mangsa.

Katanya, bagaimanapun, kereta milik mangsa berjaya ditemui semula di sebuah stesen minyak di Parit Buntar beberapa jam kemudian.  

"Siasatan lanjut terhadap kejadian samun itu masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

“Polis turut meminta kerjasama orang awam menyalurkan maklumat jika mempunyai informasi berkaitan kejadian tersebut untuk membantu siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment