ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: UPDATE #LAHAD DATU @160313

Sunday 17 March 2013

UPDATE #LAHAD DATU @160313

TANAH PERKUBURAN TEMPAT SIMPANAN SENJATA DIPERIKSA
Sepasukan polis hari ini memeriksa kawasan Tanah Perkuburan Kampung Panji di sini dipercayai tempat simpanan senjata api oleh kumpulan pengganas yang menyerang Kampung Simunul 2 Mac lepas. 

Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata pemeriksaan pada 6.30 pagi itu dijalankan selepas menerima maklumat awam sejak beberapa hari lepas. 

"Hasil pemeriksaan kita, polis tidak menemui sebarang senjata api. Saya harap penduduk tidak panik, kerana ia merupakan pemeriksaan biasa," katanya ketika dihubungi. 

Beliau berkata pemeriksaan yang dijalankan kira-kira 100 anggota polis dari unit VAT 69, Unit Tindakan Khas Bukit Aman, Pasukan Gerakan Am dan dibantu pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna juga bertujuan mengumpul bukti terhadap kegiatan pengganas sejak beberapa minggu lepas. 

Sementara itu, seorang penduduk Jurikun Borneo, 54, berkata ketika beliau sedang membuka kedai runcitnya pada 6.30 pagi beliau melihat sepasukan polis sedang memeriksa tanah perkuburan dengan menggunakan beberapa alat pengesan
senjata. 

"Saya nampak sekejap sahaja, tapi ramai anggota polis memeriksa tanah perkuburan itu," katanya.


KRISIS DIJANGKA TAMAT DALAM TEMPOH 48JAM
Angkatan Tentera DiRaja Malaysia (ATM) dijangka akan melakukan gempuran terakhir bagi menamatkan terus pencerobohan kumpulan pengganas Sulu di kawasan Lahad Datu, Sabah.

Penulis menjangkakan gempuran akan dilakukan dalam tempoh 48 jam lagi.
Konflik Lahad Datu perlu dihabiskan segera bagi membuka laluan untuk kerajaan menumpukan pula kepada isu Pilihan Raya Umum Ke-13.

Mynewshub difahamkan pembubaran Parlimen terpaksa dibawa ke bulan hadapan berikutan isu Lahad Datu menuntut kerajaan berkuasa penuh menanganinya dan bukan kerajaan ‘caretaker’.

Seperti yang kita tahu, semalam ATM telah pun mengumumkan ia akan menambah aset dan anggota untuk menggempur pengganas yang menceroboh negara di Kampung Tanjung Batu dan Sungai Nyamuk, 130 kilometer dari bandar Lahad Datu, sejak 12 Feb lepas.

Malah, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin memberi gambaran operasi daulat yang memasuki hari kesembilan (semalam), berada di penghujungnya dengan tumpuan menjejaki saki-baki pengganas yang kini bergerak dalam kumpulan kecil.

Beliau berkata 12 kereta kebal perisai berantai, beberapa helikopter Pasukan Udara Tentera Darat dan kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia akan tiba hari ini di sini secara berperingkat.



PENGGANAS KIRAM DITAHAN BERSAMA 369RIBU PESO
Anda bayangkan kalau tiada sumber wang disuap setiap orang  , nak ke mereka ini datang dari jauh untuk menceroboh Lahad Datu .   Nak tuntut hak kesultanan Sulu apa kejadahnya kalau wang 369 ribu peso ada dalam kocek .  Berperang dan menceroboh negara ini sebab dibayar ???
Sudah jelas terang pencerobohan Lahad Datu sememangnya dirancang oleh Dalang  & Kiram III  hanya sebagai alat /pekakas untuk melaksanakan rancangan mereka .

8 RAKYAT ASING MENAIKI BOT LAJU DITAHAN
Lahad Datu, 15 Mac - Lapan rakyat asing yang menaiki bot laju dari Filipina ditahan ketika memasuki Sungai Bilis, di sini tengah malam tadi.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata turut dirampas bersama lelaki berusia 17 dan 29 tahun itu ialah wang tunai berjumlah 369,000 Peso (RM28,000) dan tong kosong.

"Kami kini menyiasat tujuan mereka masuk ke kawasan larangan dan mereka kini ditahan mengikut Akta Imigresen kerana tiada dokumen peribadi.

"Jika perlu kami akan tahan mereka di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012," katanya pada sidang akhbar bersama Panglima Satu Divisyen Infantri Tentera Darat Mej Jen Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di markas operasi Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini.

Beliau berkata sehingga 5 petang ini, 97 individu ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 manakala 233 orang ditahan kerana memasuki zon larangan Operasi Daulat.

Pasukan keselamatan juga menembak mati 61 musuh dan 27 daripada mayat pengganas itu telah dibawa keluar dari zon merah.

Hamza berkata Operasi Daulat, yang memasuki hari ke-11, kini bertumpu di Tanjung Batu manakala kawasan di Kampung Tanduo dan Sungai Nyamuk telah dibersihkan.

"Kami percaya pengganas kini bergerak dalam kumpulan kecil," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zaki berkata dalam tempoh 48 jam sehingga 5 petang ini tiada pertempuran antara pasukan keselamatan dan pengganas.-BERNAMA

POLIS TAHAN DUA LELAKI DIPERCAYAI TALI BARUT PENGGANAS MILITAN
Dua lelaki disyaki tali barut pengganas militan ditahan dalam operasi sepasukan polis Cawangan Khas Bukit Aman di pekan Semporna, malam tadi.
   
Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata dalam serbuan pada 8 malam itu dua lelaki berumur lingkungan 40-an ditahan selepas polis menerima maklumat awam.
   
"Kami menahan dua lelaki itu kerana disyaki menjadi tali barut kepada pengganas, dan kami akan soal siasat mereka untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
   
Beliau berkata polis kini menjalankan siasatan sama ada lelaki yang dipercayai rakyat asing itu mempunyai kaitan atau tidak dengan serangan hendap di Kampung Simunul 2 Mac lepas.
   
Ditanya mengenai dakwaan penduduk tempatan berhubung ramai pendatang asing meninggalkan pekan Semporna, Mohd Firdaus berkata perkara itu akan disiasat bagi memastikan tiada anggota pengganas yang meloloskan diri dari pekan itu. - Bernama



AZZIEMUDIE BERJAYA LOLOSKAN DIRI KE SELANTAN FILIPINA

Ketua pengganas Sulu yang melancarkan serangan bersenjata di Lahad Datu dan Semporna, Azzumudie Kiram disahkan telah melarikan diri ke selatan Filipina dan meninggalkan kumpulannya bersendirian.


Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zain ketika mengesahkan perkara itu berkata, pasukan keselamatan negara mendapat maklumat mengenai status ketua pengganas berkenaan daripada pelbagai sumber risikan.

"Azzumudie telah meninggalkan kumpulannya bersendirian dan melarikan diri ke negaranya," katanya dalam sidang akhbar bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar di sini malam ini.

Sementara itu, Ismail berkata, maklum balas yang diterima daripada pasukan keselamatan dalam Ops Daulat juga menunjukkan Azzumudie tidak lagi bersama kumpulannya.

Bagaimanapun, ditanya lebih lanjut bagaimana ketua pengganas itu berjaya meloloskan diri daripada kepungan pasukan keselamatan, Zulkifeli dan Ismail enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut. - UTUSAN

SEORANG PENGGANAS DITAHAN DI FELDA SAHABAT HARI INI
Lahad Datu, 16 Mac - Pihak keselamatan negara berjaya menahan seorang individu dipercayai pengganas dari Sulu di kawasan Felda Sahabat di sini hari ini.

Tanpa menyatakan lokasi militan itu ditahan, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata pengganas tersebut ditangkap pukul 6.30 pagi tadi mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"Ketika ditahan tiada senjata ditemui pada pengganas yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri itu sebelum dibawa ke balai polis untuk soal siasat," katanya pada sidang media bersama Panglima I Divisyen Infantri Mej Jen Datuk Ahmad Zaki Moktar, di sini hari ini.

Hamza berkata sehingga kini jumlah individu yang ditahan mengikut SOSMA ialah 104 orang, lain-lain akta sebanyak 232 orang dan jumlah pengganas yang ditembak mati 61 orang. Menurutnya operasi penggeledahan, menjejaki musuh dan pembersihan kini ditumpukan di kawasan Kampung Tanjung Batu dan dijangka selesai selewat- lewatnya esok.

Penduduk kampung dan media juga diingatkan supaya tidak memasuki kampung itu kerana dipercayai musuh kini bergerak dalam kumpulan kecil dengan jumlah keseluruhan pengganas yang tinggal dianggar kurang daripada 50 orang.

"Dalam konteks ini kerjasama masyarakat dan orang ramai diperlukan terutama menyalurkan maklumat supaya saki-baki pengganas dapat ditangkap atau dihapuskan," katanya.

Hamza berkata pasukan keselamatan juga sedang berusaha mengeluarkan 10 mayat pengganas yang masih berada di Kampung Tanduo.

Beliau turut menjelaskan hanya 15 pengganas ditembak mati pihak keselamatan dalam pertempuran di Kampung Tanduo pada 1 Mac lepas, bukan 27 seperti yang dilapor akhbar hari ini.

"Pada 1 Mac, seramai 12 musuh mati ditembak dan setelah selesai proses pembersihan kita menemui tiga lagi mayat semalam dan ia membawa kepada 15 musuh yang disahkan terbunuh pada hari pertama itu," katanya. - BERNAMA



TERKINI ! 50 PENGGANAS SULU TERUS DIBURU TENTERA 

Operasi Daulat untuk memburu saki baki pengganas militan yang menceroboh Lahad Datu sejak 12 Februari lepas akan diteruskan sehingga semua kawasan di daerah berkenaan bersih daripada penceroboh dari selatan Filipina itu.
Yakin operasi itu boleh diselesaikan dalam masa terdekat, pasukan keselamatan percaya kini hanya tinggal sekitar 50 orang lagi saki baki kumpulan militan di kawasan berkenaan.
Anggaran bilangan musuh itu dibuat berdasarkan jumlah yang ditembak mati, ditahan dan lari ke selatan Filipina.
"Kami akan cuba selesaikan secepat mungkin," kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib sambil menegaskan bahawa pasukan keselamatan tidak meletak 'garis masa' untuk operasi itu.
Selepas 12 hari Operasi Daulat, Kampung Tanduo yang sebelum ini menjadi kubu kumpulan penceroboh kini bersih daripada pengganas, dan pasukan keselamatan percaya usaha membersih Kampung Tanjung Batu akan dapat diselesaikan pada Ahad.
Hamza berkata penduduk kampung terlibat akan dibenar pulang selepas pasukan keselamatan membersihkan kawasan itu daripada jerangkap samar dan pelbagai ancaman lain serta berbincang dengan ketua masyarakat.
"Kami akan letak anggota keselamatan untuk pastikan tiada musuh dapat kembali semula ke kampung berkenaan," katanya.
Dalam tempoh 72 jam sehingga 5 petang ini, tiada pertempuran antara pasukan keselamatan dan penceroboh militan.
Pasukan keselamatan melancarkan serangan ofensif terhadap kumpulan militan dari Sulu pada 5 Mac selepas beberapa siri rundingan dengan kumpulan yang menceroboh pesisir pantai Lahad Datu sejak 12 Februari lepas, gagal.
Dalam tempoh itu, 61 musuh ditembak mati dan 27 daripada mayat pengganas telah dibawa keluar dari zon merah manakala 104 ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas, dan 232 ditahan kerana berada di kawasan larangan.
Sembilan anggota keselamatan terdiri daripada lapan anggota polis dan seorang tentera terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan pengganas itu.
Seorang lagi anggota tentera terkorban dalam kemalangan jalan raya melibatkan trak tentera yang dalam konvoi untuk Operasi Daulat. BERNAMA

No comments:

Post a Comment