ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: TERKINI #LAHAD DATU @270313

Thursday 28 March 2013

TERKINI #LAHAD DATU @270313

SEORANG PENGGANAS SULU SERAH DIRI.

Seorang pengganas Sulu ditahan selepas menyerah diri ketika terserempak dengan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi penggeledahan di Tanjung Batu, di sini, lewat hari ini. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, sepasukan unit Gerak Gempur Khas (GGK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang melakukan operasi di satu kawasan paya sebelum terserempak dengan pengganas itu. Dia kemudian melarikan diri sebelum dikejar dan akhirnya menyerah diri. Lelaki dipercayai tanpa senjata itu menyerah diri dengan mengangkat tangan dan meminta pasukan keselamatan tidak melepaskan tembakan terhadapnya.

Difahamkan dua kereta perisai berantai dikerahkan untuk operasi pemantauan berterusan bagi mengesan pengganas lain. Kereta perisai itu dipercayai dikerahkan kerana bimbang penyerahan diri yang dilakukan itu sebagai taktik kotor untuk pengganas lain melepaskan tembakan terhadap pasukan keselamatan.

Bagaimanapun, sebaik mendapati tiada yang mencurigakan dan tidak membahayakan, pasukan keselamatan menahan pengganas berkenaan. Pengganas itu kemudian diserahkan kepada pasukan VAT69 dan dibawa ke lokap tahanan sementara untuk disoal siasat.

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Dato’ Seri Zulkifli Zainal Abidin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pula berkata pasukannya (VAT69) telah menerima pengganas tersebut dari GGK ATM dan sidang media bersama ATM akan diadakan esok. Sehingga kini, jumlah tahanan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) meningkat kepada 111 orang, pengganas ditembak mati 67 dan mayat dibawa keluar 42. — BERNAMA

POLIS KESAN PENGIRIM WANG KE PULAU JOLO BANTU PENGGANAS
Polis mengesan berlaku pengiriman wang ke Pulau Jolo, Filipina oleh beberapa individu dari Sandakan dan Semporna, Sabah bertujuan membiayai kumpulan pengganas di sana.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pasukan keselamatan kini memantau rapi perbuatan individu itu yang mengkhianati negara dan tangkapan akan dilakukan apabila tiba masanya. Beliau berkata, perbuatan menghantar duit ke Pulau Jolo untuk membantu kumpulan pengganas adalah kesalahan yang amat berat dan mereka yang terbabit boleh dikenakan tindakan undang-undang yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau mati mandatori.

“Jadi, saya nasihatkan mana-mana individu yang terlibat supaya segera menghentikan tindakan mereka kerana perbuatan itu adalah satu pengkhianatan kepada negara dan polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan,” katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi di Felda Sahabat 16, di sini hari ini.

Tanpa menjelaskan bilangan individu yang terlibat dan amaun yang dihantar, Khalid berkata nilai wang yang dihantar tidak penting kerana tindakan undang-undang tetap sama jika tujuannya membantu musuh negara.

Berhubung statistik terkini Operasi Daulat, Khalid berkata, seramai 429 individu telah ditangkap dan daripada jumlah itu 116 ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dengan 42 daripadanya telah dibebaskan. Beliau berkata, 42 mayat musuh telah dibawa keluar dari kawasan pertempuran termasuk dua mayat kanak-kanak yang terbunuh dalam pertempuran di Kampung Tanjung Batu dua hari lepas, manakala 29 mayat telah dikebumikan.

Dalam pada itu, Khalid berkata, 20 ketua keluarga dari Kampung Tanduo telah dibawa masuk ke perkampungan terbabit pagi ini bersama pegawai dari Pejabat Daerah Lahad Datu bagi membolehkan mereka melawat rumah dan harta benda masing-masing.

Ini adalah sebahagian daripada proses penilaian yang sedang dijalankan Majlis Keselamatan Negara serta Majlis Daerah Lahad Datu, dan dibantu Majlis Keselamatan Negeri bagi menilai kerosakan dan jumlah ganti rugi yang perlu diberikan.

Berhubung seorang pengganas Sulu yang menyerah diri di kawasan Kampung Tanjung Batu petang semalam, Khalid berkata keadaan fizikal militan itu yang lesu setelah 15 hari tidak menjamah makanan adalah gambaran kepada keadaan yang dialami saki-baki pengganas yang bersembunyi di kampung terbabit.
“Jadi kita harap pengganas lain yang berada di dalam semak dan paya berhampiran supaya turut berbuat demikian kerana sudah ketiadaan bekalan makanan selain kehilangan arah berikutan pemerintah tentera mereka telah ditangkap,” katanya. – BERNAMA


KAMPUNG TANDUO DI TUTUP DENGAN RASMINYA
Pasukan keselamatan memutuskan bahawa Kampung Tanduo yang menjadi lokasi pendaratan kumpulan penceroboh militan Sulu akan ditutup dan tidak lagi menjadi kawasan petempatan penduduk.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata semua penduduk kampung itu yang kini menghuni pusat pemindahan sementara akan dipindahkan ke satu lokasi baharu yang akan diputuskan kemudian. Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas pihak keselamatan mendapati kawasan yang menjadi kubu pengganas sejak pencerobohan 12 Feb lepas itu terjejas teruk susulan gerakan ofensif yang dilancarkan 5 Mac lepas. "Setakat ini, itu yang kita putuskan, kita akan bincang perkara ini lagi tetapi perbincangan di peringkat pasukan keselamatan mendapati lebih sesuai penduduk kampung itu yang jumlahnya tidak begitu ramai ditempatkan di satu tempat yang akan dikenal pasti kemudian," katanya pada sidang akhbar di Markas Operasi Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini.

Beliau berkata penempatan semula penghuni 12 rumah di kampung itu akan dibuat di kawasan berdekatan Kampung Tanduo dan lokasinya akan dikenal pasti dengan kerjasama pengurusan Felda Sahabat.

Hamza turut memaklumkan kawasan Kampung Tanjung Batu kini bebas daripada ancaman pengganas dan pihaknya akan bermesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara, Pejabat Daerah Lahad Datu dan ketua masyarakat kampung berkenaan bagi membincangkan proses membenarkan penduduk untuk kembali ke rumah masing-masing. 

Proses penggeledahan dan pembersihan kini diteruskan ke Tanjung Labian dan Tanagian sebelum memasuki kawasan Sungai Bilis dan beliau yakin proses itu mampu diselesaikan segera sebelum memutuskan untuk membenarkan penduduk kembali ke rumah atau sebaliknya, katanya.

Terdahulu, Hamza berkata pasukan keselamatan merampas sepucuk pistol, enam butir peluru dan sebilah parang yang ditinggalkan militan selepas berlaku pertempuran di kawasan Sungai Bilis, Gugusan Labian pagi ini. 

Beliau berkata kejadian pada 7.30 pagi itu berlaku ketika pasukan keselamatan sedang menjalankan operasi pembersihan di kawasan itu sebelum terserempak dengan tiga pengganas yang bertindak melepaskan tembakan ke arah anggota keselamatan.

Pengganas kemudian melarikan diri apabila diserang balas dan tiada kecederaan dilaporkan di kedua-dua pihak, katanya.

No comments:

Post a Comment