ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: TERKINI #LAHAD DATU @170313

Monday 18 March 2013

TERKINI #LAHAD DATU @170313

SEORANG LAGI PENGGANAS DITEMBAK, JADIKAN 62 MUSUH DITEMBAK MATI SETAKAT INI 
Lahad Datu, 17 Mac - Seorang lagi pengganas Sulu dari selatan Filipina ditembak mati oleh pasukan keselamatan dalam Operasi Daulat di Kampung Tanjung Batu di sini hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan musuh yang terbunuh kepada 62 orang. 

Panglima Medan Tentera Darat Lt Jen Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata dua pertempuran berlaku hari ini iaitu pada 9.55 pagi dan 10.15 pagi apabila pasukan keselamatan bertembung sekumpulan musuh di kawasan itu.

"Pada 10.15 pagi kita sekali lagi bertembung dengan musuh dan salah seorang daripada mereka berjaya dibunuh manakala tiga yang lain melarikan diri," katanya dalam sidang media bersama Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib di markas operasi Felda Sahabat 16, pada kira-kira 11 pagi, di sini.

Zulkiple berkata tiga lagi musuh itu dipercayai masih berada di kawasan Tanjung Batu dan pasukan keselamatan sedang giat menjejaki mereka. "Mayat musuh yang dibunuh itu hanya akan dikeluarkan apabila keadaan benar-benar selamat," katanya.

Beliau berkata operasi pembersihan masih giat dijalankan di Kampung Tanduo dan Tanjung Labian, sebelum penduduk dibenarkan untuk kembali ke kampung masing-masing dalam tempoh terdekat.

Pasukan keselamatan juga sedang giat memeriksa dan menggeledah rumah-rumah di kawasan operasi bagi memastikan tiada musuh berlindung di kediaman penduduk, kata Zulkiple.

Dalam pada itu Hamza berkata, musuh kini dipercayai bergerak dalam kumpulan kecil di sekitar Kampung Tanjung Batu. Beliau berkata orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pasukan keselamatan bagi memudahkan usaha menjejaki saki-baki kumpulan militan tersebut dan tidak memasuki kawasan zon merah demi keselamatan. - BERNAMA

OPERSAI DAULAT DITERUSKAN SEHINGGA ZON MERAH BERSIH DARIPADA PENGGANAS
KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Operasi Daulat untuk memburu saki baki pengganas militan yang menceroboh Lahad Datu sejak 12 Feb lepas akan diteruskan sehingga semua kawasan di daerah berkenaan bersih daripada penceroboh dari selatan Filipina itu.

Yakin operasi itu boleh diselesaikan dalam masa terdekat, pasukan keselamatan percaya kini hanya tinggal sekitar 50 orang lagi saki baki kumpulan militan di kawasan berkenaan.

Anggaran bilangan musuh itu dibuat berdasarkan jumlah yang ditembak mati, ditahan dan lari ke selatan Filipina.

"Kami akan cuba selesaikan secepat mungkin," kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib sambil menegaskan bahawa pasukan keselamatan tidak meletak 'garis masa' untuk operasi itu.

Selepas 12 hari Operasi Daulat, Kampung Tanduo yang sebelum ini menjadi kubu kumpulan penceroboh kini bersih daripada pengganas, dan pasukan keselamatan percaya usaha membersih Kampung Tanjung Batu akan dapat diselesaikan.

Hamza berkata penduduk kampung terlibat akan dibenar pulang selepas pasukan keselamatan membersihkan kawasan itu daripada jerangkap samar dan pelbagai ancaman lain serta berbincang dengan ketua masyarakat.

"Kami akan letak anggota keselamatan untuk pastikan tiada musuh dapat kembali semula ke kampung berkenaan," katanya.

Dalam tempoh 72 jam sehingga 5 petang, tiada pertempuran antara pasukan keselamatan dan penceroboh militan.

Pasukan keselamatan melancarkan serangan ofensif terhadap kumpulan militan dari Sulu pada 5 Mac selepas beberapa siri rundingan dengan kumpulan yang menceroboh pesisir pantai Lahad Datu sejak 12 Feb lepas, gagal.

Dalam tempoh itu, 61 musuh ditembak mati dan 27 daripada mayat pengganas telah dibawa keluar dari zon merah manakala 104 ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas, dan 232 ditahan kerana berada di kawasan larangan.

Sembilan anggota keselamatan terdiri daripada lapan anggota polis dan seorang tentera terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan pengganas itu. Seorang lagi anggota tentera terkorban dalam kemalangan jalan raya melibatkan trak tentera yang dalam konvoi untuk Operasi Daulat.- BERNAMA


UNIT K9 BANTU OPERASI BURU PENGGANAS KIRAM III

No comments:

Post a Comment