ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: INFO TERKINI #LAHAD DATU @190313

Wednesday 20 March 2013

INFO TERKINI #LAHAD DATU @190313

SULTAN SULU ARAHKAN PENGIKUTNYA LANCAR PERANG GERILA KEATAS ANGGOTA KESELAMATAN MALAYSIA
Jamalul Kiram III yang mengakui dirinya Sultan Sulu telah menarik balik gencatan senjata bagi pihaknya dan mengarahkan pengikutnya di Sabah menjalankan perang gerila keatas pasukan keselamatan Malaysia, menurut laporan media Filipina.
The Philippine Star memetik Sultan Sulu tersebut berkata bahawa penarikan balik tenteranya yang diketuai oleh adiknya Agbimuddin di Sabah bukan suatu pilihan.

“Mereka sudahpun berada di tanahair mereka, mengapa perlu pulang semula?” kata Kiram kepada wartawan di kediamannya di Bandar Taguig.

Abraham Idjirani yang merupakan jurucakap kesultanan berkata penentangan di Sabah akan diteruskan.

Beliau berkata arahan gencatan senjatan yang ditawarkan oleh kesultanan telah ditarik balik dan tentera sultan telah diarahkan untuk menjalankan operasi “serang dan lari” keatas Malaysia.

Jamalul juga mengakui adiknya tersebut masih lagi di Sabah berbeza dengan laporan daripada pihak berkuasa Malaysia yang mengatakan Agbimuddin telah melarikan diri ke Selatan Filipina.

Idjirani dilaporkan telah bercakap dengan Agbimuddin malam Sabtu dan diberitahu bahawa kumpulan mereka masih kuat.

Menurut akhbar Filipina, Idjirani berkata pengikut kesultanan yang berjumlah 170 orang berpecah kepada tiga kumpulan untuk mengelak daripada dijejaki pesawat pengintip Malaysia yang berlegar-legar di udara sekitar Lahad Datu.

Namun, Philippine Star melaporkan Agbimuddin telah kembali ke wilayah asalnya di Sulu bersama-sama dengan pengiring, termasuk beberapa individu daripada Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), ia menurut sumber daripada pegawai keselamatan yang dirahsiakan.




Azziudie Kiram (kiri) bersama pengikutnya.


Dalam pada itu, polis di Tawi-Tawi iaitu pulau di wilayah Mindanao yang paling dekat dengan Sabah masih mencari tanda-tanda bahawa Azzimuddie mungkin melarikan diri ke sana.

KERETA PERISAI BERANTAI BERTEMPUR DENGAN PENGGANAS KIRAM
Empat pertempuran berlaku antara pengganas dan pasukan keselamatan yang menjalankan operasi menggeledah dan menjejaki musuh di kawasan Tanjung Batu, di sini semalam. Tiada kecederaan dilapor dalam empat pertempuran antara 8.05 pagi hingga 5 petang itu, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi semalam, pasukan keselamatan turut menahan tiga lagi individu di Sandakan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan pengganas, menjadikan jumlah tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kini 107 orang.

Segala laporan siasatan telah siap dan kesemua mereka akan didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat, katanya pada sidang akhbar bersama Panglima Satu Divisyen Infantri Tentera Darat, Mej. Jen. Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di markas operasi Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini. 


Hamza berkata, operasi menggeledah, menjejaki musuh dan membersih kawasan kubu pengganas di Tanjung Batu dijangka selesai hari ini dan pihaknya percaya bilangan pengganas yang tinggal kurang daripada 50 orang.

Sementara itu Ahmad Zaki berkata, pasukan keselamatan turut menggunakan 12 kereta perisai berantai Adnan yang mampu bergerak dalam pelbagai bentuk muka bumi. 

"Kami yakin dengan tahap mobiliti, daya perlindungan dan kemampuan kereta perisai kami dalam melancarkan Operasi Daulat," katanya.


TERKINI : JANJI ANGGOTA KESELAMATAN NEGARA, KAMI AKAN TENTANG HABIS-HABISAN... #LahadDatu

Pasukan keselamatan akan terus memburu saki-baki pengganas Sulu yang menceroboh Lahad Datu dan yakin dapat menumpaskan mereka dalam tempoh terdekat.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dalam reaksi segeranya ke atas kenyataan yang dikeluarkan oleh Jamalul Kiram III, pada awal Isnin menegaskan yang raja Sulu itu boleh kata apa yang dia suka tetapi pasukan keselamatan Malaysia akan memberi tentangan habis-habisan.
Malah katanya, pasukan keselamatan percaya jumlah militan yang berkubu di Kampung Tanjung Batu kini kurang daripada 50 orang.
Pasukan keselamatan, katanya tidak menghiraukan pengumuman Jamalul Kiram III yang disiar oleh media Filipina bahawa kumpulan pengganas itu akan melancarkan perang gerila ke atas Malaysia.
"Jamalul Kiram boleh cakap apa saja. Kami akan tentang mereka habis-habisan," katanya pada sidang akhbar bersama Panglima Satu Divisyen Infantri Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di Felda Sahabat 16, dekat sini pada lewat petang Isnin. Hamza berkata, dua pertempuran telah berlaku antara pasukan keselamatan dan kumpulan pengganas pada hari ke-14 Operasi Daulat iaitu pada jam 8.05 pagi dan 9.45 pagi.
Menjawab pertanyaan wartawan stesen televisyen Filipina GMA 7 mengenai pasukan keselamatan mengambil kesempatan ke atas pengganas setelah Jamalul Kiram III mengumumkan gencatan senjata, Hamza berkata pengganas terlebih dahulu menyerang dan membunuh dua anggota polis serta mencederakan tiga lagi dalam pertempuran di Kampung Tanduo, dekat sini pada 1 Mac lepas.
"Kami tidak akan hormati kata Jamalul Kiram III kerana pengikutnya menembak mati dua anggota polis, sedangkan sehari sebelum itu beliau umum gencatan senjata," katanya lagi.
Hamza turut memberitahu bahawa Malaysia dan Filipina sedang berunding berhubung tuntutan mayat 28 pengganas yang ditembak mati dalam insiden pencerobohan itu.
Sementara itu Di KUALA LUMPUR, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata, pasukan keselamatan yakin operasi pembersihan di Kampung Tanjung Batu akan selesai dalam masa dua atau tiga hari lagi sebelum penduduk dibenar pulang ke rumah masing-masing.
"Operasi di Sungai Nyamuk dan Kampung Tanduo telah selesai dan kini dalam peringkat menentukan kerosakan yang dialami penduduk kampung," katanya kepada pemberita di Kementerian Pertahanan.
Mengenai tempoh Operasi Daulat, Zulkifeli berkata, pasukan keselamatan tidak dapat memberi jangka waktu bila operasi itu akan berakhir.

No comments:

Post a Comment