PENJELASAN MENGENAI KEDUDUKAN SUMPAH MOHD SAIFUL DI MASJID WILAYAH PERSEKUTUAN PADA 15 OGOS 2008
Ekoran daripada sumpah yang dilakukan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan di Masjid Wilayah Persekutuan pada 15 Ogos 2008 lalu, Pejabat ini menerima banyak pertanyaan daripada orang awam dan juga pihak media berikutan pandangan pelbagai pihak yang bercanggah antara satu dengan yang lain, lebih-lebih lagi apabila terdapat pihak yang mengaitkannya dengan agama Kristian. Bagi menghuraikan persoalan ini, Pejabat ini ingin membuat penjelasan berikut :-
2. Al –‘Allamah Abu Bakar ‘Othman Bin Muhammad Syatta al-Dimyati al-Bakri menyatakan dalam kitabnya “Hasyiah I’anah al-Talibin” bahawa sumpah atau “yamin” terbahagi kepada dua : Pertama dalam perbicaraan di Mahkamah, dan Kedua di luar perbicaraan. Dalam bahagian kedua ini, sumpah sah dilakukan oleh seorang yang mukalaf dengan pilihan sendiri. Perkara yang menjadi objek sumpah pula ialah perkara yang lalu atau yang akan datang, manakala perkara yang digunakan untuk bersumpah ialah nama Allah atau sifat-sifatnya dengan didahului oleh huruf “qasam” atau sumpah, iaitu “waw”, “ba’” dan “ta’”. Sumpah seperti ini harus dilakukan jika difikirkan perlu, seperti untuk menguatkan percakapan atau kenyataan.
3. Berasaskan keterangan di atas, sumpah Mohd Saiful adalah sah sebagai sumpah di luar perbicaraan atau “alyamin qhairul qadhaiyah”. Dan ianya juga bukan sumpah “mubahalah” seperti yang terdapat dalam ayat 61 surah “Aal Imran” kerana “mubahalah” memerlukan persetujuan pihak kedua. Oleh yang demikian upacara “mubahalah” antara Rasulullah S.A.W. dengan rombongan Nasrani dari Najran tidak berlaku kerana mereka enggan melakukannya dan meminta pilihan lain.
4. Pemberatan sumpah atau “taghliz al-yamin” boleh dilakukan sama ada daripada segi tempat atau masa. Kitab yang disebutkan di atas menyatakan caracara pemberatan sumpah seperti berikut :-
4.1 Selepas sembahyang asar hari Jumaat
4.2 Dalam masjid di sisi mimbar
4.3 Meriba Mushaf dan meletak tangan ke atasnya
4.4 Dibacakan kepadanya ayat 77 daripada Surah Aal Imran
5. Mengenai hukum meletak tangan ke atas mushaf, selain daripada apa yang telah disebutkan di atas diperturunkan disini fatwa-fatwa berikut :
5.1 Al-Sheikh Hasanin Muhammad Makhluf, mantan Mufti Mesir (1945 –1950M) dalam kitabnya “Fatwa Syariyyah”, ketika menjawab soalan mengenai hukum bersumpah dengan mushaf, beliau memetik pendapat Al-Imam Al-‘Aini seperti berikut :
“Jika seseorang bersumpah dengan mushaf, atau meletakkan tangan ke atasnya, atau berkata : Demi Quran ini – maka ia adalah sumpah yang sah”, ini adalah pendapat Imam Syafiei, Hanafi dan Hambali.
5.2 Shaikh Muhammad Abu Zuhrah dalam bukunya “Fatawa al-Sheikh Muhammad Abu Zuhrah”, dalam jawapannya kepada soalan tentang hukum bersumpah dengan nama Allah dengan meletakkan tangan ke atas Mushaf, menyatakan : Bersumpah dengan nama Allah dengan meletakkan tangan ke atas mushaf adalah sumpah yang sah.
6. Adalah jelas daripada jawapan para ulama di atas bahawa dengan semata-mata wujud persamaan zahir dengan apa yang dilakukan oleh penganut Kristian tidaklah boleh dianggap meniru cara agama Kristian. Misalnya paderi Kristian menyebut kalimah “Amin” ketika melakukan upacara doa di gereja. Namun umat Islam tidak boleh dianggap meniru Kristian dengan menyebut kalimah “Amin” dalam sembahyang dan ketika berdoa.
7. Daripada huraian di atas, dapat disimpulkan bahawa sumpah yang dilakukan oleh Mohd. Saiful adalah harus dilakukan dan tidak bercanggah dengan syariat Islam.
Disediakan oleh :
DATO WAN ZAHIDI WAN TEH
Mufti Wilayah Persekutuan
17 Syaaban 1429H
19 Ogos 2008M
No comments:
Post a Comment