ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: POLIS TUMPAS SINDIKET JUDI INTERNET DI PUSAT PERNIAGAAN RAMPAI

Sunday 1 November 2015

POLIS TUMPAS SINDIKET JUDI INTERNET DI PUSAT PERNIAGAAN RAMPAI


KUALA LUMPUR: Satu lagi sindiket judi Internet tumpas selepas Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman, menyerbu sebuah premis di Jalan Rampai Niaga 2, Pusat Perniagaan Rampai, Wangsa Maju, malam semalam.

Ketua Penolong Pengarah STAGG, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata dalam serbuan menerusi Ops Judi Online pada jam 9 malam itu, seramai 25 orang ditahan, termasuk empat penjaga premis dan selebihnya adalah pelanggan.

"Sebanyak 80 komputer yang digunakan sebagai mesin judi Internet, pelbagai peralatan capaian Internet serta wang tunai RM662 dirampas.

"Semua yang ditahan berusia antara 23 tahun dan 45 tahun terdiri daripada 23 lelaki tempatan, serta seorang lelaki dan seorang wanita warga asing," katanya yang turut memaklumkan semua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Wangsa Maju untuk tindakan lanjut.

Kejayaan terbaru STAGG menerusi Ops Dadu Online itu turut dikongsi Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar laman Twitternya, pagi tadi.

"Syabas STAGG @PDRMsia semalam tangkap 25 orang dan rampas 80 komputer di pusat judi di Rampai Business Park Setapak. Go PDRM Go," katanya.

Sementara itu, Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), berjaya membongkar satu sindiket perjudian haram di pusat karaoke dalam satu serbuan di sebuah premis di Wisma MPL, Jalan Raja Chulan, petang tadi.

Menerusi serbuan kira-kira jam 5 petang diketuai Pegawai Turus D7 IPKKL, Deputi Superintendan Eu Kee Leong itu, tiga buah bilik di pusat karaoke itu dikesan dijadikan pusat kegiatan judi haram menggunakan daun terup 'Ngau' dan 'Texas Poker'.

Serbuan itu sekali gus membongkar modus operandi baharu kegiatan judi haram yang menjadikan bilik karaoke sebagai tempat berjudi selain berhibur.   Seramai 25 pengunjung yang sedang leka berjudi ditahan dan wang tunai RM46,690 serta cip perjudian pelbagai nilai dirampas.
bharian

No comments:

Post a Comment