ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: #BANJIRLUMPURKARAK : KENYATAAN MEDIA JABATAN KERJA RAYA MALAYSIA

Friday 13 November 2015

#BANJIRLUMPURKARAK : KENYATAAN MEDIA JABATAN KERJA RAYA MALAYSIA


PEMBUKAAN SEMENTARA JALAN ALTERNATIF FT 086 JALAN KUALA LUMPUR – BENTONG EKORAN KEJADIAN BANJIR LUMPUR DI LEBUHRAYA KL – KARAK (E8) KILOMETER 52.4

1. Kejadian banjir lumpur di KM 52.4 Lebuhraya KL – Karak (E8) pada 11 November 2015 telah mengakibatkan penutupan lebuh raya tersebut. Sehingga jam 7.00 pagi 13 November 2015, kedua-dua laluan masih lagi ditutup bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan.

2. Sejak insiden tersebut, laluan alternatif utama yang digunakan bagi kedua-dua arah iaitu dari KL - Karak – Kuantan dan sebaliknya adalah melalui dua opsyen iaitu opsyen 1 melalui Pelangai (FT09) – Batu Kikir (FT09) – Seremban (FT51) – Kuala Lumpur dan opsyen 2 melalui Pelangai (FT09) – Simpang Pertang (FT086) – Kuala Klawang (FT086) – Seremban (FT51) – Kuala Lumpur.

3. Laluan alternatif kedua akan mula dibuka mulai jam 11.00 pagi pada 13 November 2015 (Jumaat) iaitu daipada Bentong ke Kuala Lumpur dengan menggunakan jalan lama Persekutuan FT086 (KL – Bentong), di mana kenderaan daripada Plaza Tol Bentong perlu melalui jalan Persekutuan FT086 ini untuk menuju ke Kuala Lumpur. Kenderaan dari Kuala Lumpur pula perlu melalui jalan Gombak menuju ke jalan Bentong lama (FT086).

3.1. Walau bagaimanpun, jalan FT086 selepas ini dibuka waktu siang hari sahaja daripada pukul 7.00 pagi hingga 6.00 petang buat sementara. Ini adalah kerana jalan tersebut turut mengalami beberapa hakisan yang masih dalam pemantauan pihak JKR Daerah Bentong bersama syarikat konsesi.

3.2. Jalan FT086 ini dibuka kepada kenderaan ringan sahaja disebabkan laluan yang boleh dilalui adalah terhad. Kenderaan berat perlu melalui laluan alternatif utama seperti di para 2 di atas.

3.3. Jalan FT086 ini ditutup kepada semua kenderaan sebaik sahaja Lebuhraya KL – Karak (E8) dibuka semula bagi kedua-dua laluan. Ini adalah bagi membolehkan kerja-kerja siasatan cerun dijalankan di FT086.

3.4. Semua pengguna jalan FT086 ini perlu mematuhi papan-papan tanda keselamatan dan memandu dengan berhati-hati kerana terdapat bahagian-bahagian tertentu diselaputi lumpur dan berkemungkinan licin disebabkan oleh musim hujan sekarang.

3.5. Pengguna jalan FT086 perlu berhati-hati sekiranya ternampak tanda-tanda berlakunya hakisan di lereng-lereng bukit khususnya semasa waktu hujan.

3.6. Jentera dan kakitangan JKR/konsesi yang terlibat dengan kerja-kerja pembersihan berada di laluan FT086 di waktu siang hari dari masa ke semasa bagi memberi bantuan sekirangya diperlukan atau hubungi Bilik Gerakan JKR di talian 03-26107727.

Sekian.

Jabatan Kerja Raya Malaysia

13 November 2015 @ 7.00 pagi

No comments:

Post a Comment