ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: LEBIH 90 LAPORAN POLIS DIBUAT TERHADAP NURUH IZZAH

Wednesday 25 November 2015

LEBIH 90 LAPORAN POLIS DIBUAT TERHADAP NURUH IZZAH

KUALA LUMPUR - Polis menerima lebih 90 laporan di seluruh negara berhubung pertemuan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dengan Jacel H.Kiram, anak perempuan bekas ketua pengganas kumpulan bersenjata Sulu yang menceroboh Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, laporan mengenai tindakan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu kebanyakannya diterima di Sabah.

"(Berikutan laporan itu) polis klasifikasikan kes ini mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan akan mengambil keterangan Nurul Izzah dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Persidangan Antarabangsa mengenai Pemerdagangan Manusia di Maktab Polis Diraja Malaysia di sini, hari ini.

Persidangan dua hari itu, yang bermula semalam, dianjurkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama University of Derby dan The International Policing and Justice Institute.  

Mohmad berkata, tarikh untuk mengambil keterangan Nurul Izzah belum dapat ditetapkan kerana beliau sibuk.

Pertemuan Nurul Izzah dengan Jacel menjadi viral dan membangkitkan kemarahan banyak pihak terutamanya penduduk Sabah selepas Jacel memuat naik empat keping gambar mereka dalam akaun Facebook beliau pada 9 November lepas.

Pada Februari 2013, kumpulan dari selatan Filipina menceroboh Lahad Datu di Sabah hingga menyebabkan lapan anggota polis dan dua tentera terkorban dalam Operasi Daulat manakala 68 pengganas ditembak mati.

Nurul Izzah dalam kenyataannya sebelum ini mengakui beliau bertemu Jacel pada 9 November semasa berada di Filipina bersama-sama dengan Anggota Parlimen Batu, Tian Chua sebagai sebahagian daripada rombongan PKR bertemu dengan pelbagai pihak berkepentingan negara itu.

Setelah berdepan dengan kritikan dan kecaman daripada pelbagai pihak, Nurul Izzah akhirnya memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang terguris dengan gambar beliau bersama Jacel itu.  

Dalam perkembangan lain, Mohmad mengesahkan mayat mendiang Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin Morais telah dituntut oleh anggota keluarganya semalam.

Ketika ditanya adakah siasatan polis merupakan punca mayat Kevin Morais lambat dituntut, beliau menafikannya dan berkata ia tiada kaitan dengan siasatan polis.

"Daripada perspektif polis, ia (siasatan) telah selesai, cuma proses tuntutan mayat lambat, kena tanya keluarga," katanya.

Mayat Morais, 55, ditemui di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 September lepas.

Morais dilaporkan hilang pada 4 Sept lepas dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta di sini, untuk ke tempat kerjanya di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya. - Bernama

No comments:

Post a Comment