ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: HUSAM : SAYA ATAU PAS YANG BERUBAH ???

Sunday 8 November 2015

HUSAM : SAYA ATAU PAS YANG BERUBAH ???

Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dalam satu kenyataan hari ini berkata, perjuangannya dalam Pas tetap seperti dahulu.

Sebaliknya Husam yang merupakan Adun Salor itu berkata, Pas pula yang dilihatnya berubah kerana baginya Pas yang sekarang bukan sepertimana Pas yang asal.

"Hari ini, Presiden Pas dijemput oleh MB Terengganu untuk menjadi 'penasihat' ekoran kenyataan beliau: 'Kerjasama politik kita  tak masuk kerajaan...' terbitan (Sinar Harian, 1 November 2015). 'Parti sedia bantu BN beri nasihat licinkan pentadbiran: Hadi' terbitan (Sinar Harian, tarikh sama).

"Sebagai ahli Pas berjawatan Yang di Pertua  Kawasan, saya sememangnya keliru dengan semua kenyataan presiden saya kebelakangan ini. Cukup saya balikkan pertanyaan  Ahmad Amzad Hashim, Pengarah Jabatan Penerangan Pas Pusat: Saya berubah atau Pas berubah?.

"Semua kenyataan ini menggambarkan seakan presiden bebas sebebasnya membuat apa jua kenyataan yang bersifat dasar dan pendirian Pas tanpa melalui proses mesyuarat yang sewajarnya atau mengambil kira pandangan dan perasaan ahli peringkat akar umbi," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Husam, kenyataan itu beliau  dalilkan berdasarkan respon Pas Selangor menerusi kenyataan Pesuruhjayanya yang menolak hubungan dengan Perkasa, hampir sebaik sahaja foto Presiden Perkasa memeluk Presiden Pas menjadi viral.

"Jika tindakan Presiden menjalin hubungan dengan Perkasa telah diputuskan dalam mesyuarat Pas Pusat, tentulah Pas Selangor tidak akan mengeluarkan komen menentang arus itu.

"Ini semua menunjukkan kelainan Pas kini berbanding dulu.

"Pas dulu menentang perjuangan berbentuk assabiyyah atau perkauman melampau. Kini?," soalnya.

Dalam pada itu, Husam berkata, ‎berbalik kepada beberapa isu pentadbiran Kerajaan Kelantan yang beliau bangkitkan misalnya isu pengurusan hutan yang pruden, bukanlah isu baharu.

"Jika Jabatan Penerangan Pas cekap dan adil, mereka tentunya ingat ucapan-ucapan saya di Parlimen mengenai pembalakan, pemanasan global dan isu alam sekitar yang lain.

"Ia sudah sebati dengan saya dan satu dari komitmen peribadi saya. Sebagai organ penerangan parti, sudahkah Jabatan Penerangan Pas membelek apa janji Pas selama ini dalam setiap manifesto nasional dan negeri?

"Sudahkan mereka mengkaji angka-angka yang terlibat, seperti keluasan tebangan habis hutan simpan? Jika tidak, saya berubah atau Pas berubah?," soalnya lagi.

Mengulas mengenai isu Pas yang didakwa berhasrat membentuk kerajaan bersama Umno di Selangor, Husam menegaskan, fakta bahawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui beliau mengusahakan kerjasama politik itu ketika krisis MB Selangor tahun lalu tidak boleh diketepikan dengan alasan-alasan.

"Antara 'ya' dan 'tidak' sahaja yang diperlukan. Adakah 'ya' atau 'tidak' Presiden Pas mengaku seperti itu bila dipersoalkan? Saya tahu, pendedahan ini akan mengundang risiko kepada saya.

"Saya sanggup menerima semua risiko berdasarkan: Apa yang saya sebutkan adalah benar‎. Saya mahu sandiwara yang telah menghancurkan parti selama ini dihentikan.

Saya ingin melaksanakan kewajipan saya memaklumkan kepada ahli dan masyarakat umum sandiwara belakang tabir yang telah berjalan sekian lama.

"Sehubungan itu, siaran di laman web rasmi Pas dengan tajuk 'Jawapan Fitnah Terhadap Presiden Pas' - saya harap dapat ditarik balik serta merta. Saya tegaskan di sini, saya tidak memfitnah sesiapa," ujarnya lagi.

Tegasnya lagi, kenyataan yang dibuat olehnya adalah benar dan beliau bertanggungjawab dunia akhirat.

"Saya sanggup mempertahankan kenyataan saya. ALLAH adalah saksi Maha Agung," katanya.

No comments:

Post a Comment