ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: SIDANG DUN KELANTAN PANAS !!! KERAJAAN NEGERI USUL MANSUH AKTA LAUT WILAYAH 2012

Thursday 5 November 2015

SIDANG DUN KELANTAN PANAS !!! KERAJAAN NEGERI USUL MANSUH AKTA LAUT WILAYAH 2012


KOTA BHARU: Hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan panas apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) mempersoalkan kewajaran tindakan kerajaan negeri yang membuat usul menolak Akta Laut Wilayah 2012.

Mat Yusoff Abdul Ghani (BN-Nenggiri) ketika membahaskan usul berkenaan berkata ADUN hanya boleh bertindak sebagai penggubal undang-undang dan bukannya menterjemahkan undang-undang.

"Proses penterjemahan undang-undang ini hanya boleh dilakukan oleh mahkamah sahaja...kita sebagai ADUN hanyalah penggubal kepada undang-undang. Kita boleh menuntut hak menerusi perbincangan (dengan kerajaan Persekutuan) ataupun mahkamah," katanya.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan sebelum itu mengusulkan agar kerajaan negeri menolak akta berkenaan selepas mendakwa kerajaan persekutuan mengambil peluang untuk mengehadkan sempadan setiap perairan negeri kepada tiga batu nautika.

Dr Mohamed Fadzli (PAS-Temangan) berkata ia sekali gus menafikan hak Kelantan untuk menerima bayaran royalti petroleum sebanyak lima peratus dan mendakwa akta berkenaan diluluskan di Parlimen tanpa mengikut saluran yang betul.

Beliau turut memberi alasan apabila Perdana Menteri merungkai Perisytiharan Darurat pada 2011, undang-undang dan warta yang telah digunakan untuk mengambil Pelantar Benua dan perairan wilayah setiap negeri di Malaysia turut terbatal.

"Berikutan itu, pemilikan Pelantar Benua tidak lagi dengan kerajaan persekutuan tetapi menjadi hak milik kerajaan negeri masing-masing," katanya.

Sementara itu, Datuk Abdul Aziz Derashid (BN-Kuala Balah) pula berkata tiada mana-mana negara di dunia ini yang mengiktiraf perairan negeri kerana ia membabitkan kedaulatan sesebuah negara.

Selain itu, beliau turut menasihatkan anggota dewan yang mengambil bahagian dalam perbahasan itu supaya tidak mengikut emosi dan menyuarakan pendapat mengikut lunas undang-undang serta tidak menggunakan pendekatan secara konfrontasi.

Usul berkenaan yang dibahaskan selama dua jam setengah itu bagaimanapun diluluskan oleh majoriti anggota dewan.

Persidangan dewan turut ditangguhkan kepada satu masa yang akan diberitahu kelak.
BERNAMA

No comments:

Post a Comment