Sebelum ini, ramai yang beranggapan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR merupakan pencatur politik Pakatan Rakyat (PR) khususnya dalam membina hubungan di antara DAP dan PAS, namun fakta-fakta yang makin terserlah mutakhir ini menafikan tanggapan tersebut.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi PKR dan bekas pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendedahkan bukan PKR atau PAS yang menjadi tunggak PR, sebaliknya tunggak sebenar adalah DAP.
“Bagi saya hari ini..mereka (PKR) adalah pengkhianat orang Melayu dan Islam. Sebab dalam Pakatan Rakyat, tunjangnya bukan PAS, PKR (tetapi) DAP.
“Perjuangan DAP lain, mereka bukan hormat tentang perlembagaan, isu kontrak sosial, DAP tak terima semua ini.
“Tapi kalau PAS boleh ikut, boleh terima bulat-bulat, Anwar Ibrahim boleh jadi satu idola, macam tokong untuk mereka ikut, saya rasa ini akan merosakkan bangsa dan negara kita,”kata Zahrain.
DAP sebagai mastermind PR makin terserlah apabila timbul isu kabinet bayangan dan calon Perdana Menteri (PM), jika sekiranya PR berjaya menawan Putrajaya dalam Pilihanraya Umum ke-13.
DAP melalui Timbalan pengerusinya, Dr Tan Seng Giaw membantah keras usaha pihak-pihak tertentu dalam PR yang cuba mewujudkan kabinet bayangan, tetapi dalam masa sama secara konsisten menyokong Anwar sebagi calon PM.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng seawal Januari 2012 sudah melobi jawatan PM kepada Anwar yang didakwanya sebagai calon paling bersih.
Menurutnya, tiada pemimpin PR dari DAP atau Pas yang lebih layak selain Anwar untuk menjawat jawatan itu dan dalam masa sama bersetuju mengekalkan Anwar sebagai Ketua Pembangkang.
“Ini bukan soal kita bela Anwar saja tetapi kita bela kerana beliau saja (pemimpin di negara ini) yang paling bersih untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya.
Nada yang sama turut diutarakan Pengerusi DAP, Karpal Singh, di mana beliau berkata walau apapun keputusan mahkamah terhadap kes liwat Anwar, namun hanya Anwar yang paling layak sebagai calon PM PR.
“DAP berpendirian tidak memerlukan perdana menteri alternatif kerana saya percaya Anwar akan menjadi perdana menteri sebenar,” katanya semasa berucap pada persidangan DAP 2012.
Namun berbeza dengan pendirian PAS, di mana dalam Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-58 baru-baru ini, perwakilan ulama Pas mencalonkan Presiden parti mereka Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai calon PM sekaligusnya mengenepikan pencalonan Anwar yang diwar-warkan PKR dan DAP sebelum ini.
“Saya ingin bertanya kepada perwakilan, siapa orang yang paling terbaik untuk memimpin kerajaan Malaysia kalau bukan Tuan Guru Presiden?” kata Perwakilan Dewan Ulama, Hairun Nizam dan disambut teriakan Takbir! daripada perwakilan yang hadir.
“… bukan sebagai alasan untuk menaik-naikkan beliau, tapi beliau yang paling layak untuk menjadi perdana menteri akan datang … dan kita sebagai anak didik kepada parti Islam tidak sepatutnya kita pula yang berkempen agar orang lain menjadi pemimpin,” katanya lagi.
Walaupun Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) cuba membela Anwar dan menafikan pas secara konsesus mencalonkan Abdul Hadi, namun Ahli Jawatankuasa Ulamak Pelapis PAS (Pusat) mengakui memang wujud dua kem dalam Pas iaitu satu kem pro Abdul Hadi dan satu lagi kem pro Anwar.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi, sebenarnya belum ada satu ketetapan rasmi yang diambil oleh Pakatan Rakyat berhubung isu ini. Ini bermakna kenyataan bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri akan datang yang digembar-gemburkan selama ini hanyalah pandangan peribadi yang dilantunkan oleh DAP, KEADILAN dan turut juga disambut oleh beberapa pimpinan PAS.
“Akhirnya pandangan yang pada asalnya bersifat peribadi dan bukannya hasil keputusan rasmi Pakatan Rakyat telah berubah menjadi seakan-akan satu pegangan muktamad bagi Pakatan Rakyat sehingga masyarakat Malaysia secara umum turut terkeliru dan turut berkeyakinan bahawa isu Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri adalah hasil kesepakatan seluruh kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat,” dedah Ustazah Izzah Masturah Binti Eshmaeel dalam laman ulamak.pas.org.my.
Menurutnya, kem pro Anwar dalam PAS turut menguasai organ penerangan parti, Harakah.
Lim Guan Eng sekali lagi menolak pencalonan perwakilan PAS yang mahukan Abdul Hadi sebagai PMdengan mendakwa PR telah secara konsesus memilih Anwar.
Saya rasa Pakatan Rakyat telah membuat kata sepakat sebelum ini bahawa sekiranya Pakatan menang pada pilihan raya kali ini, bakal Perdana Menteri adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Setakat ini tidak ada permintaan atau perubahan dan pendirian DAP masih sama seperti dulu iaitu calon PM adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
‘Konsesus persetujuan’ yang dibangkitkan Guan Eng itu pernah dibangkitkan oleh bekas ahli seumur hidup PAS, Zainon Ismail sebelum ini.
Zainon atau lebih dikenali dengan nama pena sebagai CN Al-Afghani mendedahkan PAS telah menandatangani satu perjanjian sulit pada 18 Disember 2009 dengan DAP dan PKR untuk menggugurkan perjuangan hudud dan Negara Islam.
“Kita ini ditipu oleh pimpinan. Kalau baca dalam buku saya ini, ada saya sebut, persefahaman pada 18 Disember 2009 telah disebut dan ditandatangani oleh tiga orang pemimpin.
“PAS oleh Tuan Guru Haji Hadi, PKR oleh penasihat dia, dan DAP oleh Lim Kit Siang.
“Apa yang ditandatangani, di antara kandungannya, apabila PR berkuasa di Putrajaya, pemerintahan ini tidak akan menyentuh tentang hudud dan Negara Islam,”dedahnya dalam Wacana Mengembalikan Pas ke Landasan Asal, 11 November.
Selain itu, DAP sebagai pencatur PR juga semakin terserlah dengan peranan Penang Institute yang memainkan peranan seperti IKD (Institut Kajian Dasar) semasa Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Penang Institute berusaha mengangkat tokoh-tokoh yang disenangi Anwar seperti B.J. Habibie dan Tariq Ramadan, malah turut ‘menaja’ kumpulan pro Anwar dalam PAS yang dikenali sebagai kumpulan Islamis Demokrat.
“Kami bukan lagi Islamis, tetapi Islamis Demokrat,” begitulah kenyataan Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Penyelidikan PAS Pusat dalam program Refsa, iaitu salah satu cabang kepada Penang Institute.
Menariknya, cabang Penang Institute, Refsa ini juga didedahkan NDI (National Democratic Institute) sebagaibadan pemikir pertama di Malaysia yang berusaha mewujudkan ‘BERSIH‘.
NDI mengakui pihaknya telah mengadakan bengkel-bengkel dengan kerjasama Refsa, yang menjadi anggota BERSIH untuk melatih kepimpinan dan pengurusan organisasi pro-pembangkang itu.
Latihan NDI dijalankan secara berkala di Malaysia, mulai dari tahun 2005, 2006 dan 2007 untuk menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) Malaysia pada tahun 2008.
Refsa adalah nama singkatan kepada Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (Research for Social Advancement), sebuah NGO Malaysia yang beralamat di 4A, Jalan Sepadu, Taman Bersatu, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur yang dianggap badan pemikir DAP, diketuai oleh YB Liew Chin Tong, Ahli Parlimen DAP, Bukit Bendera.
Lebih menarik lagi, bekas blogger reformasi, Ibrahim Baba mendedahkan DAP turut membayar secara bulanan wang kepada 10 orang pemimpin PAS untuk bercakap mewakili kepentingan mereka.
No comments:
Post a Comment