ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: PAS MULA BERSUARA ISU TUKAR MB SELANGOR !!!

Monday 31 March 2014

PAS MULA BERSUARA ISU TUKAR MB SELANGOR !!!


Setelah sekian lama, baru hari ini rakan gabungan Pakatan Rakyat (PR) Selangor, Pas mula bersuara dalam isu pertukaran Menteri Besar Selangor.

Selama ini, mereka senyap dan mengambil sikap berdiam diri atau tunggu dan lihat daripada mencampuri urusan kerajaan negeri, yang mana Pas dan DAP negeri itu telah menyerahkan kepada PKR untuk mentadbir termasuk menjadi Menteri Besar.

Punca kenapa Pas Selangor berdiam diri tidak lain kerana mereka takut dengan gertakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bukan sahaja berkuasa penuh tetapi mempunyai kuasa veto untuk menentukan hala tuju rakan parti dalam PR.

Sejak isu menukarkan Menteri Besar heboh diperkatakan banyak pihak, hanya Pas sahaja tidak berani bersuara kerana rasa takutnya kepada Anwar lebih tebal daripada segala-galanya.

Lihat sahaja apa sudah terjadi kepada bekas exco dan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali, kerana kelantangannya menegur rakan mereka iaitu DAP dalam isu penjualan arak di kedai serbanika 24 jam.

Teguran yang membawa kepada perbalahan dengan bekas Exco DAP itu akhirnya menyaksikan Hasan dipecat daripada jawatan Exco Kerajaan Negeri dan parti.

Begitu juga dalam isu penggantian Menteri Besar, dari Tan Sri Khalid Ibrahim kepada Anwar. Semua parti gabungan dalam PR termasuk Pas membisu seribu bahasa. Satu ayat pun mereka tidak berani keluarkan, takut menerima nasib seperti Hasan.

Tetapi, setelah Mahkamah Persekutuan Putrajaya pada 7 Mac lalu memutuskan Anwar bersalah dalam kes liwat II dengan bekas pembantu peribadinya, baru muncul beberapa pemimpin Pas bersuara mengenai kedudukan Menteri Besar Selangor.

Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan akhbarnya minggu lalu menegaskan, tidak ada keperluan untuk PKR menukar Menteri Besar dengan melantik isteri Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengisi jawatan tersebut.

Beliau dilaporkan berkata, hasrat PKR untuk menggantikan Khalid perlu dibincangkan dan dipersetujui komponen PR.

“Kita dah buat kenyataan sebelum ini bahawa isu Menteri Besar itu perlu dibincangkan dengan melibatkan ketiga-tiga parti komponen PR. Ia perlu melibatkan ketiga-tiga parti komponen yang memerlukan perbincangan di peringkat Majlis Pimpinan PR,” katanya.

Persoalannya, kenapa baru sekarang Tuan Ibrahim bersuara, sedangkan isu ini sudah lebih dua ditimbulkan iaitu serentak dengan pemecatan Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Penggantian Khalid berpunca dari tragedi yang menimpa Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR. Permusuhan antara Khalid dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Gombak itu tidak boleh disembunyikan lagi.

Perbalahan itu berlaku secara terang terangan sehingga wujud dua team dalam PKR iaitu Azmin yang disokong Anwar dan Khalid yang disokong Wan Azizah.

Kegagalan Anwar menempah tiket untuk menduduki kerusi Menteri Besar memang agak mengecewakan. Daripada bercita-cita hendak menjadi Perdana Menteri sehingga Menteri Besar Selangor, semuanya kecundang di awal perjalanan lagi.

Sekarang Anwar mahu bertanding kerusi Presiden PKR, merebut jawatan itu dengan isterinya, Wan Azizah. Tidak pernah berlaku dalam sejarah politik tanah air dan politik dunia, suami mencabar isteri.

Mungkin Anwar telah sedar, era politiknya mula merudum dan akan berakhir bila-bila masa. Kalau sebelum ini beliau memilih jawatan tertinggi untuk didudukinya, hari ini beliau membuat keputusan untuk turun pangkat. Maksdunya, daripada menjadi Ketua Umum PR kepada Presiden PKR.

Itulah satu-satunya tanda kegemilangan beliau semakin menuju kejatuhan. Beliau tidak boleh menyalahkan orang lain lagi kerana beliau yang memilih jalan turun, bukan jalan naik atau jalan mendatar.

Bagaimanapun menurut beliau, pertukaran Menteri Besar bukan satu keperluan kerana prestasi Abdul Khalid memuaskan sepanjang memegang jawatan itu sejak tahun 2008.

“Sehingga kini Pas melihat tidak ada keperluan sangat untuk buat perubahan tersebut. Bagaimanapun oleh kerana jawatan Menteri Besar itu hak bersama di mana ketiga-tiga parti perlu buat keputusan…jadi kenalah duduk bersama untuk berbincang,” katanya.

Semalam, Anwar berkata, parti itu tidak menolak kemungkinan berlakunya perbincangan di peringkat pimpinan parti untuk melantik Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Abdul Khalid.

Walaupun tidak menyatakan secara langsung tetapi Ketua Pembangkang itu mengakui perbincangan untuk peralihan tampuk kerajaan negeri itu akan diadakan kelak.

“Hal itu mereka akan bincangkan melalui pimpinan negeri.  Program Wan Azizah hari ini masih di Kajang. Langkah Kajang masih diteruskan yang mana Wan Azizah sekarang sudah menang di sana,” katanya.

Hujung minggu lalu Wan Azizah memenangi pilihan raya kecil kerusi DUN Kajang dengan majoriti 5,379 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Datin Paduka Chew Mei Fun.

Dalam pertembungan satu lawan satu itu, Wan Azizah meraih undi sebanyak  16,741 manakala Mei Fun sekadar mendapat 11,362 undi, sekaligus menyaksikan PKR kekal mempertahankan kerusi itu sejak tahun 2008.

Kemenangan itu sekaligus menguatkan spekulasi akan berlakunya perubahan tampuk pentadbiran kerajaan negeri ekoran daripada pengosongan secara mengejut kerusi DUN Kajang oleh penyandangnya Lee Chin Cheh bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding.

Bagaimanapun Anwar hilang kelayakan bertanding ekoran keputusan Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang memutuskan beliau bersalah dalam kes liwat dan dikenakan hukuman penjara lima tahun, menyaksikan Wan Azizah diletakkan sebagai calon pengganti.

PKR perlu bawa hasrat ke Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat

Tuan Ibrahim menambah, perkara tersebut wajar dibawa PKR untuk dibincangkan segera di peringkat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat agar parti komponen memahami apa yang berlaku.

Menurut beliau, PAS bersedia untuk mengadakan perbincangan bagi mendapatkan penjelasan PKR namun keputusan akhir bergantung kepada persetujuan ketiga-tiga komponen Pakatan.

“Kita sepatutnya fikir tentang keputusan ini, kita perlu duduk berbincang serta lihat apa perkara yang menjadi keperluan dan apa yang bukan keperluan kepada kita.

“Bagi pihak PAS kita rasa tiada keperluan sangat tapi mungkin bagi PKR ia rasa ada keperluan. Jadi kita kena duduk bincang, tengok apa perkara yang menyebabkan PKR rasa ada keperluan,” katanya.

Ujar Tuan Ibrahim lagi, Abdul Khalid telah menunjukkan prestasi cemerlang sejak mengambil alih jawatan Menteri Besar dengan mengambil sistem pentadbiran yang telus dan mesra rakyat.

“Bagi pihak Pas kita rasa prestasi yang ditunjukkan Tan Sri Abdul Khalid setakat ini kita berpuas hati dan pencapaian Selangor juga sangat baik. Cuma kalau ada kelemahan kita boleh perbaiki seperti kita boleh buat teguran, berbincang dan perbaiki lagi kalau ada kelemahan,” katanya.

Ditanya sekiranya Pas bersedia menerima Wan Azizah sebagai Menteri Besar, Pesuruhjaya Pas Pahang ini bagaimanapun mengelak menjawab persoalan tersebut.

“Hingga setakat ini isu itu tidak timbul lagilah sebab bagi kita sekiranya ada keperluan pun kita sedia berbincang. Tak timbul soal terima atau tolak, sehingga ini kita fikir kalau perlu ada perubahan kita akan bincang bersama,” katanya.
Malaysia Today

No comments:

Post a Comment