Tiada Pengesahan MH370 Mungkin Di Lautan Hindi
KUALA LUMPUR — Tiada pengesahan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang mungkin berada di Lautan Hindi sebagaimana laporan media antarabangsa.
“Pasukan antarabangsa sedang berusaha untuk mengesahkan maklumat terperinci itu, tetapi kami tiada apa yang hendak disahkan buat masa ini,” kata Menteri Pertahanan dan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan kemungkinan MH370 mungkin berada di Lautan Hindi memandangkan kapal-kapal Amerika Syarikat sedang mencari pesawat itu di kawasan berkenaan.
“Kefahaman saya berdasarkan beberapa maklumat yang baru yang tidak semestinya kukuh, tetapi maklumat baru, satu kawasan pencarian tambahan mungkin di buka di Lautan Hindi, kata jurucakap Rumah Putih Jay Carney seperti dilaporkan agensi berita Perancis, AFP.
Penerbangan MAS MH370 membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang semasa penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi Sabtu lepas. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi pada hari yang sama.
Kerajaan Kongsi Data Sulit Radar Kesan MH370
KERAJAAN berkongsi beberapa data radar milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang biasanya tidak dikongsi atas sebab keselamatan kerana fokus utama kini ialah untuk mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin berkata, pihak Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan TUDM kini sedang bertungkus-lumus bekerjasama dengan agensi antarabangsa lain untuk menentukan data berkenaan adalah dari MH370.
“Kita sekarang sedang berkongsi maklumat yang tidak biasanya dikongsi kerana sebab keselamatan dengan agensi yang boleh membantu.. Kini maklumat yang diberi oleh pihak kami (Malaysia) sedang digunakan untuk siasatan.
“Saya berharap dalam masa dua tiga hari lagi, kita akan memperolehi kesimpulan dan saya akan maklumkan segera kepada media jika ada sebarang perkembangan,” katanya yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan dalam sidang media hari ini.
Hari ini sudah masuk hari ketujuh pesawat MH370 hilang dari radar selepas terputus hubungan pada awal pagi Sabtu ketika dalam penerbangan ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pesawat kendalian Kapten Zahari Ahmad Shah itu berlepas dari KLIA pada pukul 12.41 tengah malam dan terputus hubungan dengan radar pada pukul 2.40 pagi, menurut DCA.
MH370 membawa 227 orang penumpang dengan 12 anak kapal dijadualkan mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama namun tidak mendarat seperti dijadualkan.
Hari Ke 7 : Kekuatan 13 Negara Bergabung Dalam Misi SAR
Sebanyak 13 buah negara diketuai Malaysia kini terbabit secara rasmi dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 yang hilang dalam perjalanan ke Beijing, awal pagi Sabtu lalu.
Ia membentuk kekuatan 57 kapal dan 48 pesawat.
Korea Selatan antara negara terbaru mengumumkan akan menghantar bantuan. Perancis juga turut menawarkan bantuan hari ini.
Negara-negara lain yang turut terlibat adalah China, Singapura, Thailand, Vietnam, Amerika Syarikat, New Zealand, Filipina, Australia, Jepun, Indonesia dan India serta Malaysia.
Dengan kekuatan mencecah puluhan buah kapal dan pesawat serta ratusan anggota, diharapkan misi pencarian akan segera bertemu dengan sesuatu petunjuk baru terhadap nasib kapal berkenaan.
Antara bantuan ialah dari pihak ketenteraan Amerika Syarikat (AS) yang telah menghantar kapal kelas pemusnah, USS Pinckney, Arleigh Burke yang berpangkalan di San Diego dalam misi mencari dan menyelamat pesawat MAS MH370.
Menurut laporan ABC News, kapal canggih itu turut membawa dua helikopter yang boleh digunakan dalam misi tersebut.
Sementara itu, tentera Laut Nasional Indonesia (TNI-AL) turut menghantar lima kapal perang dan sebuah helikopter.
Difahamkan juga, Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) telah menghantar sebuah lagi pesawat bagi menyertai pasukan mencari, hari ini.
Mereka menghantar pesawat peronda maritim Fokker-50 untuk membantu operasi mencari dan mengesan di Selat Melaka.
Kerajaan Korea Selatan juga memutuskan untuk menghantar dua pesawat tenteranya menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines MH370 yang masih hilang.
Kedutaan Korea Selatan di sini menyatakan Duta Korea Selatan di Malaysia, Cho Byung-jae, telah memberitahu Kementerian Luar Negeri Malaysia mengenai keputusan itu hari ini.
Pesawat MH370 membawa 239 penumpang termasuk 12 krew penerbangan dan kali terakhir dikesan radar adalah pada jam 1.30 pagi, Sabtu lalu.
Kehilangan pesawat yang dipandu Kapten Zaharie Ahmad Shah dan pembantu penerbangan, Fariq Abdul Hamid masih menjadi misteri sehingga kini.
No comments:
Post a Comment