Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sambil bergenang air mata pagi ini memohon maaf di atas segala kesilapan yang beliau lakukan sepanjang memimpin Kelantan sebelum ini.
Nik Aziz memohon maaf itu ketika beliau menyampaikan kuliah subuhnya di Masjid Pulau Melaka yang terletak di sebelah rumahnya.
Bahkan, Nik Aziz mengaitkan sakit yang beliau alami sekarang adalah kifaarat (balasan untuk membersihkan dosa) daripada dosa dilakukan selama memimpin Kelantan.
“Maafkan segala kesilapan saya selama saya pimpin Kelantan. Ni sakit saya mungkin Allah nak kifaarat dosa saya atas apa kesalahan saya buat selama saya pimpin Kelantan,” kata bekas menteri besar Kelantan yang paling lama memimpin negeri itu pagi tadi.
Lazimnya, Nik Aziz akan membelakangkan makmum ketika memberikan tazkirah Subuh di masjid, tetapi pagi ini beliau mengadap Jemaah yang memenuhi Masjid Pulau Melaka.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebelum ini pernah mengkritik Nik Aziz kerana menyampaikan tazkirah sembil membelakangkan orang yang mendengar tazkirahnya.
Nik Aziz tidak menyambung tugasnya sebagai menteri besar Kelantan selepas menduduki kerusi itu selama lima penggal mulai 1990 hingga 2013.
Beliau adalah MB Kelantan paling lama memerintah iaitu selama 23 tahun.
Beliau digantikan oleh timbalannya, Datuk Ahmad Yakub. Namun sejak Nik Aziz tidak memimpin Kelantan, kepimpinan negeri itu agak kecoh apabila berlaku kritikan dalaman terhadap kepimpinannya dari dalam PAS dan Pakatan Rakyat sendiri.
Sejak tidak menjadi MB, kesihatan Nik Aziz semakin teruk dengan kerap berulang-alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia, yang terletak tidak jauh dari rumahnya.
Beliau mengalami masalah prostat sehingga terpaksa membawa beg plastik untuk menampung urinnya.
Bagaimanapun, semangatnya tidak pernah luntur dan sentiasa memberikan sokongan moral kepada partinya dan Pakatan Rakyat.
Jika sihat, Nik Aziz akan ke pejabatnya di Kota Darul Naim iaitu Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) yang ditubuhkan oleh pentadbiran Kelantan yang baru.
Institut itu ditubuhkan bertujuan memastikan pemikiran Nik Aziz terus dapat dimanfaatkan walaupun beliau bukan menteri besar lagi.
Malam tadi Nik Aziz tidak menyertai majlis himpunan Reformasi 2.0 di Kota Baru yang turut disertai Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana tidak sihat.
No comments:
Post a Comment