Umat islam perlu menjauhi segala perbuatan keji dan maksiat supaya amalan puasa yang dikerjakannya tidak sia-sia apabila hanya memperoleh lapar dan dahaga.
“Hai orang-orang yang berfirman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Al-Baqarah : 183)
Ayat ini merupakan ayat yang memerintahkan fardu puasa pada tahun kedua hijrah. Di samping menyatakan kewajipan puasa, ayat ini juga menyatakan tujuan ibadah puasa “agar kamu bertakwa”. Darjah takwa adalah darjah tertinggi yang boleh dicapai oleh seorang hamba dan Allah menjanjikan syurga bagi mereka yang berjaya ke tahap itu. Sebagaimana firman Allah SWT dalam firman-Nya dalam Al-Qalam ayat 34 yang bermaksud,“Sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa disediakan syurga-syurga yang penuh kenikmatan di sisi Tuhannya.”
Orang-orang yang bertakwa merupakan golongan paling mulia di sisi Allah, bukan sahaja akan mendapat kejayaan di akhirat bahkan layak mendapat bantuan Allah di dunia. Selain itu, ia dijadikan sumber keberkatan dan alat penyucian jiwa.
Sebagai seorang Muslim, melakukan ibadah puasa pada bulan Ramadan adalah salah satu kewajipan yang diperintahkan Allah kepada setiap umat Islam. Ibadah ini tidak hanya disyariatkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. sahaja, malahan kepada umat-umat sebelumnya. Dalam memastikan ibadah puasa yang dilakukan tidak sia-sia, maka ia harus berteraskan kepada dua landasan utama iaitu, Al-Quran dan Hadis.
Ramadan merupakan bulan kebaikan dan barakah kepada seluruh umat Islam. Dalam bulan ini, Allah menurunkan kitab-Nya yang mulia pada malam Lailatul Qadar sebagai petunjuk bagi manusia, ubat bagi orang mukmin, membimbing kepada yang lebih lurus dan menerangkan jalan petunjuk. Segala perlakuan kejahatan dan maksiat menjadi kurang kerana para syaitan dan jin-jin jahat telah dirantai dan diikat. Mereka tidak dapat bebas daripada merosakkan manusia seperti bulan-bulan yang lain.
Oleh yang demikian, umat Islam dapat melakukan ibadah dengan tenang, dapat membersihkan jiwa hingga hilang nafsunya dan melupakan kesenangan dunia dengan berpuasa, membaca Al-Quran dan melakukan amalan kebaikan yang lainnya secara khusyuk. Di tutup pintu-pintu neraka dan dibuka seluas-luasnya pintu syurga kerana amalan kebaikan yang dilakukan tanpa gangguan daripada syaitan yang direjam itu.
No comments:
Post a Comment