ujVb0Ws-FOUpdyet0eHzKaLuVfw HAMBALI ABDULLAH: BERITA TRAGIS !!!

Monday, 8 July 2013

BERITA TRAGIS !!!


Mohd Ruhaidi yang rapat dengan Puteri Suhana membacakan al-Fatihah di kubur allahyarham adiknya itu.
BESUT - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 1 tahun 8 bulan sempat meminta untuk menyusu badan ibunya sebelum meninggal dunia selepas dipatuk ular ketika sedang tidur di rumahnya di Kampung Gong Ubi Keling dekat Jabi di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu, mangsa, Puteri Suhana Sata sedang tidur sederet di ruang tamu rumah bersama ibu, Zela Mohamad, 42, dan empat kakaknya.

Zela berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas anak sulungnya, Mohd Ruhaidi, 25, menjerit memberitahu ada ular dipercayai ular tedung berhampiran hujung kaki anak bongsu daripada 11 beradik itu yang tidur di tepinya.

Menurutnya, mereka ketika itu sudah tidur lena kira-kira 30 minit sebelum kejadian kecuali Mohd Ruhaidi yang masih berjaga dan berada di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

“Mohd Ruhaidi melihat ular berwarna hitam sepanjang hampir satu meter berada berhampiran kaki Puteri Suhana ketika dia keluar dari bilik tidurnya untuk ke bilik air.

"Dia kemudiannya menjerit mengejutkan saya dan ketika itu, saya lihat kaki anak bongsu sudah berdarah sementara ular berkenaan menyusup keluar melalui tepi dinding ke arah bahagian dapur rumah,” katanya.

Zela berkata, selepas diperiksa, dia mendapati terdapat dua kesan berdarah dipercayai akibat patukan ular berhampiran buku lali kaki kiri anaknya yang masih belum terjaga ketika itu.

"Bagaimanapun, selepas saya mengangkat badan Puteri Suhana, barulah dia menjerit kesakitan dan menangis.

"Pilu hati melihat dia menggelupur kesakitan dan semasa di dalam kereta dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di hospital, Puteri Suhana minta menyusu badan.

"Malangnya,  walaupun dia cuba menyusu tetapi dia tidak dapat berbuat demikian kerana terlampau sakit, selain muntah-muntah," katanya.

Zela dalam keadaan sebak berkata, tidak lama kemudian tiada lagi kedengaran suara Puteri Suhana.

"Saya lihat tubuhnya kaku dan seluruh badannya bertukar menjadi kebiruan.

"Sebaik tiba di bahagian kecemasan Hospital Besut, doktor yang memeriksanya memaklumkan Puteri Suhana telah meninggal dunia, dipercayai ketika dalam perjalanan lagi,” katanya sedih.

Zela berkata, jenazah anaknya dibawa pulang kira-kira jam 4 pagi semalam.

"Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Ubi Keling, yang terletak di depan rumah, kira-kira jam 11 pagi semalam.

"Paling menyentuh hati saya apabila kakak Puteri Suhana, Siti Mariam, 4, yang tidur bersamanya ketika kejadian bertanyakan saya kenapa adiknya dibungkus (dikafankan) sebelum jenazah dikebumikan semalam," katanya.

Suaminya, Sata Mahasan, 42, yang bekerja di Kompleks Perikanan Tok Bali, Kelantan, bergegas pulang selepas dimaklumkan berita menimpa anak bongsunya itu.

Sata berkata, sebelum ini tiada kejadian ular masuk ke dalam rumahnya.

"Kejadian ini memang tidak disangka. Kami tak sempat buat apa-apa ketika itu kerana isteri dan anak-anak hanya memberi perhatian untuk menyelamatkan nyawa Puteri Suhana," katanya.


Sumber : SH

No comments:

Post a Comment